AMPANG, 7 April – Satu program kaunseling dan pembangunan kerjaya khusus untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), terutamanya dalam kalangan remaja komuniti India, bakal dilaksanakan di Ampang bagi membantu golongan tersebut menentukan hala tuju masa depan.


Program ini dianjurkan oleh Devi Art And Cultural Centremelalui wakilnya, S. Sunder V, dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin komuniti tempatan. Turut hadir YB Altimet ADUN Lembah Jaya.
Menurut Sunder, program ini bertujuan menjadi platform bimbingan kepada pelajar dalam membuat keputusan penting selepas tamat persekolahan, termasuk peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik, serta laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Fokus utama dibahagikan kepada
Tiga kumpulan pelajar iaitu mereka yang cemerlang, sederhana dan lemah dari segi pencapaian akademik.

Pelajar yang memperoleh keputusan baik, mereka akan diberi panduan mengenai proses permohonan ke universiti melalui sistem UPU serta pemilihan kursus yang mempunyai potensi kerjaya stabil pada masa hadapan. Pelajar berprestasi sederhana pula akan didedahkan dengan peluang melanjutkan pengajian ke politeknik dan institusi kemahiran, termasuk panduan permohonan serta bidang yang relevan dengan keperluan industri semasa.
Sementara itu, pelajar yang memperoleh keputusan minimum seperti satu kredit atau sekadar lulus akan digalakkan menyertai program TVET sebagai alternatif terbaik untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka.
Tambah beliau, program ini turut memberi penekanan kepada akses pendidikan kepada golongan B40, khususnya dalam komuniti India yang berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke institusi swasta.
“Tanpa bimbingan yang betul, ada pelajar yang berisiko terbiar dan terdedah kepada gejala sosial seperti gangsterisme. Jadi kita mahu bantu mereka ada hala tuju yang jelas,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Altimet berkata, inisiatif tersebut berperanan sebagai jambatan antara pendidikan menengah dan pendidikan tinggi.
“Program ini dirangka untuk membantu pelajar mengenal pasti kesesuaian laluan mereka berdasarkan pencapaian akademik masing-masing. Kita mahu lebih ramai anak muda melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa landskap pendidikan masa kini menawarkan pelbagai saluran termasuk universiti, kolej dan institusi kemahiran yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar.
Mengulas lanjut, beliau berkata bidang TVET mempunyai potensi besar dalam era perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), kerana sektor tersebut masih memerlukan tenaga kerja mahir yang sukar digantikan teknologi.
“Di negara maju, tenaga kerja TVET berada dalam kelompok kelas pertengahan (M40). Ini adalah hala tuju yang perlu kita capai di Malaysia,” tambahnya.

Sehubungan itu, program ini diharap dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dari kawasan Ampang Jaya, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan negara.
Program berkenaan akan diadakan di Kuil Lembah Jaya, Ampang, dan dijangka mendapat sambutan dalam kalangan komuniti setempat. – UTV



