Hujan Raikan 20 Tahun, Konsert Mega ‘Hujan XX’ Gegar Bukit Jalil Jun Ini

KUALA LUMPUR, 27 Jun 2026 – Kugiran indie terkenal tanah air, Hujan, bakal meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan mereka menerusi konsert berskala besar bertajuk “Hujan XX: #Hujan20Tahun” yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Sejak kemunculan sekitar tahun 2005, Hujan berjaya mencipta fenomena tersendiri dalam industri muzik Malaysia dengan membawa nafas segar genre indie rock ke arus perdana.


Ditubuhkan oleh barisan utama seperti Noh Salleh, AG Coco, Hang Dimas dan Azham Ahmad, kumpulan ini terus kekal relevan dengan karya-karya yang dekat di hati peminat, sekali gus membina pengaruh besar dalam landskap muzik tempatan.
Antara lagu popular mereka termasuk Pagi Yang Gelap, Aku Skandal, Bila Aku Sudah Tiada dan Di Jajah Hati, selain menerima pelbagai pengiktirafan termasuk di Anugerah Industri Muzik (AIM).
Menurut penganjur, ICON Entertainment, konsert ini bukan sekadar meraikan perjalanan dua dekad Hujan, tetapi juga menghargai sokongan padu peminat setia mereka yang dikenali sebagai “Raingers”.
“Hujan adalah ikon muzik generasi ini. Keberanian mereka menembusi pasaran dengan identiti tersendiri menjadikan mereka antara kumpulan paling berpengaruh,” kata penganjur.


Konsert Hujan XX: #Hujan20Tahun dijangka menghimpunkan peminat dari seluruh Malaysia serta negara jiran termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia.
Lebih istimewa, acara ini turut menjadi simbol penghargaan terhadap “scene” muzik indie tempatan yang pernah mereka pelopori, selain menjanjikan persembahan penuh nostalgia dan bertenaga buat para peminat.
Konsert ini akan berlangsung pada 27 Jun 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, dan dijangka menjadi antara acara muzik terbesar tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *