Sebuah Kapal Malaysia dijangka tiba lewat hujung ini.

MUAR: Sebuah lagi kapal Malaysia membawa bahan api yang berjaya melalui Selat Hormuz dijangka tiba selewat-lewatnya hujung minggu ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata ketibaan kapal itu menyusuli kapal pertama yang tiba 17 April lalu dengan membawa sejuta tong minyak mentah, dijangka mampu memperkukuhkan jaminan bekalan minyak mentah negara.

“Ini akan menjamin stok bekalan minyak mentah yang akan diproses di beberapa fasiliti refinery (loji penapisan) di dalam negara kita yang memungkinkan bekalan terutama bagi Petronas lengkap sehingga hujung bulan Jun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan Diesel di dua stesen minyak di Pagoh hari ini.

Turut hadir Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Sementara itu Fahmi berkata beliau mengambil maklum permohonan beberapa pihak yang mahu kuota subsidi BUDI95 dikembalikan dan mengulangi jaminan kerajaan bahawa pelarasan kuota kepada 200 liter sebulan itu hanya bersifat sementara sehingga bekalan bahan mentah minyak negara stabil.

Perkara berkaitan bekalan bahan api negara juga dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) esok, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *