Jangan Lepaskan! Pameran ‘Art by Architects: Beyond the Blueprints’ Berlangsung 26 Julai–9 Ogos di Publika

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Orang ramai dijemput menyaksikan sendiri sisi kreatif 16 arkitek terkemuka negara menerusi pameran Art by Architects: Beyond the Blueprints, yang berlangsung dari 26 Julai hingga 9 Ogos 2026 di KL City Art Gallery, Publika.


Pameran yang julung kali diadakan di Malaysia itu mengetengahkan karya seni hasil sentuhan arkitek yang selama ini lebih dikenali melalui reka bentuk bangunan dan pembangunan bandar, sekali gus membuktikan kreativiti mereka melangkaui dunia seni bina.

Kurator pameran , Art by Architects: Beyond the Blueprints lahir daripada satu persoalan yang menarik, iaitu apakah yang akan berlaku apabila seorang arkitek diberikan kebebasan sepenuhnya untuk berkarya tanpa terikat dengan pelan bangunan, kehendak pelanggan atau peraturan pembangunan.


“Kita mengenali arkitek sebagai individu yang mereka bentuk bangunan dan mencorakkan landskap negara. Tetapi bagaimana pula apabila mereka diberikan kanvas kosong dan kebebasan sepenuhnya untuk berkarya? Adakah mereka masih seorang arkitek, atau sebenarnya mereka juga seorang artis?” katanya.

Menurut beliau, pameran itu mengajak pengunjung menilai sendiri hasil kreativiti arkitek yang diterjemahkan melalui pelbagai medium seni visual, sekali gus memperlihatkan bagaimana disiplin, imaginasi dan pengalaman hidup mereka disatukan dalam setiap karya.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur berkata, idea menganjurkan pameran berkenaan tercetus daripada pengalaman arkitek sendiri yang menjadikan seni sebagai terapi selepas melalui rutin kerja yang mencabar.

oplus_8601468928

“Setiap hari kami berdepan tekanan kerja. Selepas waktu pejabat, kami akan meluangkan sedikit masa untuk diri sendiri dengan melukis atau menghasilkan lakaran. Ia menjadi terapi dan ruang untuk meluahkan apa yang terbuku dalam fikiran,” katanya. Beliau berkata, selepas melihat ramai rakan arkitek turut berkongsi hasil karya mereka di media sosial, timbul idea untuk menghimpunkan bakat-bakat tersebut dalam satu pameran.

Cadangan itu kemudiannya mendapat sokongan tokoh seni bina negara, Dato’ Ar. Hijjas Kasturi, sebelum usaha menghimpunkan peserta dimulakan.
Pada peringkat awal, hanya sekitar 10 hingga 12 arkitek dikenal pasti untuk menyertai pameran tersebut. Namun, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila semakin ramai arkitek menyatakan hasrat untuk turut serta sehingga penyertaan terpaksa dihadkan kepada 16 orang berikutan kekangan ruang pameran.

Walaupun tempoh persiapan agak singkat, semua peserta memberikan komitmen tinggi bagi memastikan pameran sulung itu berjaya direalisasikan dengan sokongan pelbagai pihak.
Lebih daripada sekadar sebuah pameran seni, Art by Architects: Beyond the Blueprints turut membawa aspirasi untuk mengangkat karya arkitek Malaysia ke pentas antarabangsa.

Menurut kurator, sekiranya mendapat sambutan yang baik, pameran tersebut berpotensi dibawa ke beberapa bandar utama dunia seperti Singapura, Jakarta, Bangkok dan Tokyo.
Beliau berkata, hasrat itu diinspirasikan daripada sejarah apabila tujuh arkitek Malaysia pernah mengadakan pameran di Tokyo pada tahun 1985, sekali gus membuktikan karya arkitek tempatan mampu mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

“Matlamat kami bukan sekadar menganjurkan pameran ini, tetapi membina satu legasi kepada generasi akan datang dan menunjukkan bahawa arkitek Malaysia juga mempunyai sumbangan besar dalam dunia seni,” katanya.


Bagi melengkapkan penganjuran tersebut, sebuah coffee table book khas turut dilancarkan bagi menghimpunkan semua karya yang dipamerkan bersama penerangan, falsafah dan inspirasi setiap arkitek.


Penerbitan itu turut memuatkan artikel daripada tokoh seni dan seni bina negara yang mengupas hubungan antara seni visual dan seni bina serta perkembangan komuniti arkitek Malaysia, sekali gus menjadi rekod sejarah kepada pameran berkenaan.
Pameran itu turut menerima pengiktirafan apabila Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, berkenan mencemar duli merasmikan acara berkenaan.


Sepanjang pameran berlangsung, pengunjung berpeluang melihat lebih dekat karya daripada 16 arkitek terkemuka negara, termasuk Dato’ Ar. Hijjas Kasturi, Dato’ Ar. Hajeedar Abdul Majid, Ar. Lee Chor Wah, Dato’ Ar. Idr Azman Md Hashim, Ar. Ahmad Hilmy, Ar. Anand Krishnan, Ar. Zulgaisar Hamidin, Ar. Dr. Mariam, Ar. Malek Hassan, Ar. Alan Teh, Ar. Adrianta Aziz, Ar. Rashdan Daud, Ar. Tan Bee Eu, Ar. Rushdina Ismail, Ar. Fakhru Rahman dan Ar. Ho Chin Keng.


Orang ramai dijemput hadir ke KL City Art Gallery, Publika mulai 26 Julai hingga 9 Ogos 2026 untuk menyaksikan sendiri pameran yang menggabungkan dunia seni bina dan seni visual dalam satu pengalaman yang unik. Selain menikmati karya-karya eksklusif, pengunjung juga berpeluang memahami falsafah di sebalik setiap hasil seni yang membuktikan bahawa di sebalik setiap blueprint tersimpan imaginasi, kreativiti dan jiwa seorang seniman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *