PUTRAJAYA, 5 NOVEMBER 2026 – Jabatan Warisan Negara (JWN) telah menganjurkan tiga program utama berkaitan warisan secara bersepadu yang bermula dari 2 hingga 5 November 2026 dalam usaha memperkukuh pengurusan, pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah warisan negara.
Tiga program berkenaan ialah International Seminar on Heritage Management, Konvensyen Warisan Kebangsaan dan Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan Kali Ke-6 yang berlangsung di Hotel Pulse Grande, Putrajaya serta Dewan Sanggar Pujangga, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Kemuncak penganjuran pada 5 November 2026 menyaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Seri Tiong King Sing yang diwakili Timbalan Menteri, YB Tuan Chiew Choon Man, menyempurnakan pengisytiharan 39 butiran sebagai Warisan Kebangsaan, manakala 30 lagi butiran akan menyusul untuk disiarkan.


Ini menjadikan jumlah keseluruhan 69 butiran warisan yang terlibat dalam usaha pengiktirafan dan perlindungan warisan negara, merangkumi warisan ketara, warisan tidak ketara serta penerima pengiktirafan Tokoh Orang Hidup (WAKOH).
Pengiktirafan berkenaan merupakan penghargaan negara terhadap khazanah dan individu yang mempunyai nilai serta sumbangan penting kepada sejarah, kebudayaan dan pembentukan identiti negara, selain mencerminkan pelaksanaan amanah perundangan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].
Di bawah kerangka Akta 645, proses penyaringan, kajian dan penilaian dilaksanakan melalui mekanisme yang melibatkan Pesuruhjaya Warisan dan Majlis Warisan Kebangsaan sebelum sesuatu butiran melalui proses pengisytiharan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pengisytiharan sebagai Warisan Kebangsaan bukan sekadar pemberian status atau gelaran, sebaliknya membawa tanggungjawab untuk memastikan khazanah bernilai negara terus dipelihara, dipulihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.


Ketua Pengarah JWN, Mohamad Muda bin Bahadin berkata, usaha memartabatkan khazanah negara memerlukan kerjasama bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemilik warisan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti serta pihak berkepentingan.
Menurut beliau, PBN dan rakan strategik turut diseru supaya memperkukuh aspek dasar, perundangan serta pelaksanaan pemeliharaan bagi memastikan pembangunan fizikal dapat dilaksanakan secara seimbang tanpa mengorbankan khazanah sejarah dan identiti negara yang tidak ternilai.
“Pembangunan dan pemeliharaan warisan tidak seharusnya dilihat sebagai dua kepentingan yang bertentangan, sebaliknya perlu bergerak seiring bagi memastikan kemajuan negara tidak memadam sejarah dan identiti yang membentuk Malaysia,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemilik objek dan khazanah warisan, pihak swasta, NGO serta penerima pengiktirafan WAKOH atas komitmen dan kesungguhan mereka dalam memelihara warisan negara.



Dalam pada itu, penganjuran ketiga-tiga program berkenaan merupakan antara inisiatif strategik JWN bagi memperkukuh ekosistem pengurusan warisan negara, khususnya dari aspek tadbir urus dan perundangan, pembangunan kepakaran profesional serta usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan.
International Seminar on Heritage Management yang berlangsung dari 2 hingga 3 November 2026 bertemakan “Heritage Sustainability: Advancing Global Standards and Practices” menjadi platform perkongsian ilmu, kepakaran serta pengalaman melibatkan pakar tempatan dan antarabangsa.
Antara bidang yang diberikan tumpuan termasuk pengurusan tapak warisan, konservasi bangunan bersejarah, arkeologi, warisan tidak ketara, warisan bawah air dan ekopelancongan mampan.



Sementara itu, Konvensyen Warisan Kebangsaan yang berlangsung pada 2 dan 3 November 2026 mengangkat tema “Warisan Kita: Akar Identiti, Kelestarian Masa Hadapan” dengan menghimpunkan penggubal dasar, pakar warisan, ahli akademik, agensi kerajaan dan penggiat industri bagi membincangkan hala tuju strategik serta cabaran semasa dalam pengurusan warisan negara.
Perbincangan turut menumpukan aspek pemantapan pelaksanaan Akta 645, pengukuhan tadbir urus dan sumber kewangan, pembangunan modal insan serta tenaga pakar, selain usaha memperluas kerjasama rentas agensi.


Ketiga-tiga program ini diharap dapat menghasilkan resolusi dasar yang komprehensif untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara sektor awam, swasta, NGO, ahli akademik dan komuniti warisan.
JWN menegaskan bahawa usaha melindungi dan melestarikan warisan negara bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya menuntut penglibatan serta komitmen seluruh lapisan masyarakat.
Warisan bukan sekadar tinggalan masa lalu, tetapi merupakan asas pembentukan jati diri bangsa dan aset negara yang perlu dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.



