KUALA LUMPUR, 1 April – Megademy Global memperkenalkan pendekatan kecerdasan buatan (AI) berteraskan amalan Silicon Valley dalam satu sesi taklimat eksekutif bertajuk “Silicon Valley AI Advantage – What Malaysian CEOs Must Understand Now” yang berlangsung di Menara MATRADE, di sini.

Program berkenaan menghimpunkan ketua pegawai eksekutif (CEO), pengarah serta pemimpin perniagaan bagi memahami peranan AI sebagai strategi perniagaan yang dipacu kepimpinan tertinggi, bukan sekadar teknologi.
Acara itu turut disokong ASEAN Influential Award yang diwakili pengerusinya, Jann Lim, yang menekankan kepentingan kepimpinan progresif dalam memacu inovasi serta daya saing serantau.

Pada majlis sama, Megademy Global melancarkan Intelligent SalesForce Multiplier (ISM), iaitu penyelesaian AI yang membantu syarikat mengautomasi interaksi pelanggan, meningkatkan kadar penukaran jualan serta mengembangkan operasi tanpa penambahan tenaga kerja.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Megademy Global, Lee Siew Hock, berkata cabaran utama penggunaan AI bukan terletak pada teknologi, sebaliknya pelaksanaan.
“Cabaran utama AI bukan teknologi, tetapi pelaksanaannya. Kami fokus kepada hasil sebenar, terutamanya dalam meningkatkan jualan dan kecekapan operasi,” katanya.

Menurut beliau, sistem berkenaan boleh diintegrasikan dengan e-mel serta sistem sedia ada syarikat, membolehkan AI menjawab pertanyaan pelanggan termasuk berkaitan stok, maklumat produk dan rekod pembelian.
Katanya, sistem itu bertindak seperti tenaga jualan digital yang berupaya membantu proses jualan dan berfungsi sebagai konsultan jualan kepada organisasi.
Sementara itu, pakar AI dari Silicon Valley, Dr PJ Tan, turut berkongsi pengalaman bagaimana syarikat global menggunakan AI bagi meningkatkan hasil serta mengurangkan kos operasi.
Antara fokus utama yang diketengahkan termasuk automasi interaksi pelanggan, sistem penukaran jualan, kecekapan operasi serta kesiapsiagaan AI dalam organisasi.

Megademy Global turut memaklumkan bahawa ISM direka dengan penekanan kepada penyesuaian keperluan tempatan bagi membolehkan syarikat Malaysia mengaplikasikan pendekatan AI Silicon Valley secara praktikal.

Peserta program turut dijemput menyertai sesi diagnostik AI dan demonstrasi percuma bagi mengenal pasti peluang penggunaan teknologi itu dalam organisasi masing-masing. – UTV



