Artis & Komposer Bangkit Desak Reformasi Royalti Muzik: “Sudah Tiba Masanya Satu Suara, Satu Badan!”

KUALA LUMPUR, 26 Mac 2025 — Dunia industri muzik tanah air digegarkan dengan sidang penting bertajuk “Sidang Harmoni Industri Muzik” yang berlangsung di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur. Acara anjuran dua persatuan utama, Karyawan dan 3P Muzik, menghimpunkan suara para penggiat seni dalam usaha merintis masa depan yang lebih telus dan adil dalam pengurusan royalti muzik negara.


Program dimulakan dengan ucapan penuh semangat oleh Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, diikuti oleh Aris Ariwatan, Presiden Persatuan 3P Muzik, serta wakil daripada pihak pengguna. Majlis turut membuka ruang sesi soal jawab dan bergambar, menandakan solidariti antara penggiat seni dan pengguna industri.
Garis Panduan Baharu: Tanda Reformasi atau Punca Kontroversi?
Acara ini menyusul selepas pengumuman garis panduan baharu oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, pada 17 Mac lalu. Garis panduan ini dirangka bersama oleh Karyawan dan 3P Muzik, dengan hasrat memperkukuh ketelusan badan pengutip royalti muzik di Malaysia.
Namun, sidang media menteri tempoh hari dicemari kontroversi apabila tiga daripada lima badan pengutip royalti — MACP, PPM dan RPM — tidak hadir, dipercayai sebagai bentuk protes terhadap garis panduan tersebut. Mereka kemudian mengeluarkan kenyataan bersama menuntut kajian semula.
Sebaliknya, Karyawan dan 3P Muzik menegaskan bahawa garis panduan itu penting untuk melindungi hak pencipta — termasuk komposer dan penghibur — daripada dominasi syarikat besar yang kini didakwa mengawal badan-badan royalti secara tidak seimbang.


“Satu Badan Lebih Efisien”: Seruan Lesan Muzik Tunggal
Dalam sidang ini, Karyawan dan 3P Muzik tampil mencadangkan sistem “lesen muzik tunggal”, mengikut model yang digunakan di UK, Australia dan New Zealand. Sistem ini membolehkan pengguna membayar kepada satu badan sahaja, dan royalti diagih secara adil kepada semua pihak berkepentingan.
“Bayangkan, kos operasi satu badan kini boleh mencecah RM10 juta setahun. Jika dikurangkan kepada satu badan dari lima, kita boleh jimat lebih RM10 juta, dan dana itu disalurkan semula kepada artis dan komposer,” tegas Datuk Freddie.
Lebih dari itu, model tunggal juga membolehkan kerajaan memantau dan menguatkuasakan lesen dengan lebih berkesan, sekali gus memaksimumkan kutipan royalti dan memastikan keadilan kepada pencipta karya.

Panggilan Terbuka Kepada Kerajaan dan Industri
Acara ini turut menjadi platform untuk menyuarakan kebimbangan terhadap ketelusan, proses pengundian, dan struktur dalaman tiga badan utama. Karyawan dan 3P Muzik menuntut reformasi menyeluruh bagi memastikan kuasa tidak hanya dipegang oleh pihak tertentu, sebaliknya diagih secara adil dan demokratik.
Pengguna industri seperti stesen TV, hotel dan pusat beli-belah turut menyatakan sokongan mereka terhadap sistem satu badan, demi mengelakkan pembayaran berganda dan kekeliruan yang berpanjangan.

Dengan nada yang semakin lantang, artis dan komposer kini bersatu menyampaikan mesej yang jelas: Sudah tiba masanya industri muzik Malaysia bergerak ke arah sistem yang lebih harmoni, telus dan lestari.