Acara ini memberi platform kepada pendandan kucing tempatan untuk mendapatkan sijil, menunjukkan bakat, dan bersaing di peringkat profesional.
Kuala Lumpur – Industri pendandan kucing di Malaysia semakin mendapat pengiktirafan profesional melalui Cat Grooming Certification and Competition, satu platform yang menyediakan sijil dan peluang persaingan bagi mengangkat taraf pendandan tempatan ke tahap lebih tinggi.
Acara ini dianjurkan oleh Malaysia Cat Groomers Association (MCGA) dan memperkenalkan empat kategori pertandingan iaitu clipping, scissoring, combination, dan cat show mengikut baka kucing.


Para peserta dibahagikan mengikut tahap kemahiran – beginner, intermediate, open, dan championship. Pada penghujung pertandingan, peserta akan mengetahui sama ada mereka lulus atau gagal, serta pencapaian placing pertama, kedua, atau Best in Show.
Menurut Pengerusi MCGA, Noor Zainal, pertandingan ini bukan sekadar kompetisi, malah berperanan meningkatkan pengiktirafan kerjaya sebagai pendandan kucing.


“Selama ini kerja sebagai groomer sering dipandang ringan. Dengan pertandingan dan sijil seperti ini, kami mahu pendandan kucing Malaysia dikenali bukan sahaja di peringkat nasional, malah di peringkat antarabangsa,” jelas beliau.
Hari ini, seramai 15 peserta mengambil bahagian, termasuk seorang peserta dari Singapura, dengan pelbagai baka kucing seperti domestic long hair. Berbeza dengan cat show tradisional yang menawarkan hadiah wang tunai ribuan ringgit, pertandingan sijil ini menekankan pencapaian profesional, di mana peserta menerima rosette dan sijil yang boleh dipamerkan di kedai mereka sebagai bukti kemahiran.

MCGA, yang berdaftar dengan ROS, juga membuka keahlian untuk ahli dari negara Asia lain termasuk Brunei, Singapura, dan Indonesia. Namun, cabaran utama industri ini adalah kesedaran peserta yang masih rendah.
Pengerusi MCGA, Noor Zainal, menyatakan bahawa penyertaan pada tahun 2023 mencapai 20 orang, menurun kepada 9 orang pada 2024, dan kini meningkat sedikit kepada 15 orang pada tahun ini.
“Kami ingin membina kesedaran bahawa grooming memerlukan kemahiran, profesionalisme, dan platform untuk menunjukkan pencapaian, bukan sekadar aktiviti di kedai,” tambah beliau.
Bagi memastikan kualiti penjurian, MCGA menjemput juri daripada Thailand Mr. Youthana dan Ms. Farah Zahari, sebagai juri professional.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada ahli jawatankuasa dan penaja termasuk Umairah, Amelisa Pet & Co, Fabulous Care, Feliway, Shibui, Avotab, Oxyfresh, Katharos dan beberapa penaja lain yang menyokong acara ini.
“Tanpa sokongan anda, pertandingan ini tidak mungkin berlaku,” ujarnya.
Dengan adanya Cat Grooming Certification & Competition, MCGA berharap pendandan kucing Malaysia bukan sahaja diiktiraf di dalam negara, tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sambil mengekalkan standard profesionalisme tinggi dalam industri grooming. – UTV



