KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan terus komited memperkukuh perlindungan kesihatan mental serta keselamatan pekerja melalui pelaksanaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.Menurut kenyataan rasmi, pendekatan tersebut bertujuan memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan kondusif, bukan sahaja dari aspek fizikal malah turut melibatkan kesejahteraan psikologi pekerja.
Selaras dengan itu, JKKP melaksanakan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026–2030 (OSHMP30) bermula awal tahun ini sebagai langkah strategik untuk memastikan Malaysia kekal produktif sambil mengutamakan kesejahteraan tenaga kerja secara menyeluruh.Di bawah pelaksanaan OSHMP30, JKKP memberi penekanan khusus kepada Teras Strategik 2 yang memfokuskan kepada pemerkasaan kesihatan dan kesejahteraan pekerja.Inisiatif tersebut merangkumi usaha mempromosikan kesejahteraan mental, memperkukuh pengurusan kesihatan pekerjaan serta memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat dari aspek fizikal serta psikososial.
Sebagai langkah pelaksanaan, JKKP turut memperkenalkan Garis Panduan PRisMA (Guidelines on Psychosocial Risk Assessment and Management at the Workplace 2024) bagi membantu majikan mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko psikososial di tempat kerja secara sistematik dan berkesan.
Dalam sektor pembinaan pula, JKKP menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 atau Peraturan CDM 2024 yang menekankan pendekatan menyeluruh terhadap pengurusan risiko sepanjang hayat projek.
Melalui penguatkuasaan tersebut, JKKP menetapkan tanggungjawab yang lebih jelas kepada setiap pemegang kewajipan termasuk klien, pereka bentuk dan kontraktor bagi memastikan bukan sahaja keselamatan fizikal pekerja, malah pengurusan faktor risiko yang boleh memberi tekanan terhadap kesejahteraan mental pekerja.
JKKP menegaskan komitmen pihaknya untuk terus memperkukuh budaya kerja selamat dan sihat demi kesejahteraan pekerja serta pembangunan tenaga kerja yang mampan di Malaysia.


