KLINIK KESIHATAN SETAPAK ANJUR KARNIVAL WARGA EMAS DENGAN SLOGAN “WARGA EMAS SIHAT DAN AKTIF”.
Kuala Lumpur, 25 Mei 2024 – Sejajar dengan kempen Kementerian Kesihatan Malaysia ‘Sihat Sepanjang Hayat’ iaitu menekankan penjagaan kesihatan rakyat Malaysia mulai dari usia kanak-kanak sehingga ke usia emas melalui promosi gaya hidup sihat, pihak Klinik Kesihatan Setapak terpanggil untuk mensasarkan promosi kesihatan kali ini kepada golongan warga emas sebagai tanda menghargai jasa-jasa golongan warga emas yang telah banyak berkorban dalam membentuk masyarakat dan negara yang maju dan berdaya saing pada masa kini.
Berlangsung di Dewan Serbaguna Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur. Karnival ini dianjurkan bersama oleh Klinik Kesihatan Setapak, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Setapak dan Pejabat Kesihatan Titiwangsa dengan kerjasama DBKL serta pelbagai NGO tempatan seperti Malaysian Healthy Ageing Society (MHAS), IKRAM Setiawangsa, Kelab Amal Prihatin Setiawangsa, Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Restoran Ali Maju dan juga NGO-NGO di komuniti seperti Persatuan Penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Awam Desa Rejang, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Setiawangsa, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Wangsa Maju, dan KOSPEN KRT Seksyen 10 Wangsa Maju.
Karnival Kesihatan Warga Emas ini dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor’Aishah binti Abu Bakar. Serentak dengan itu, beliau juga merasmikan penubuhan Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan Setapak. Dalam ucapannya beliau menegaskan “Golongan ini tidak wajar dilupakan oleh masyarakat malah seharusnya terus diberi perhatian. Perlu benar-benar memperkasakan dan menyantuni mereka terutama oleh badan-badan kerajaan, bukan kerajaan juga masyarakat amnya”.
Kelab ini bertujuan menjadi satu wadah perkongsian ilmu dengan lebih konsisten dan jangka panjang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, juga menjadi tempat warga emas bergiat aktif dan kekal sihat dengan aktiviti sosial sesama mereka.
Dalam meniti usia emas, pelbagai perubahan dan cabaran kesihatan dihadapi oleh seseorang individu. Dengan peningkatan usia, ramai warga emas diuji dengan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi dan kolestrol tinggi. Dari segi fizikal pula, ramai yang mengalami masalah sendi dan tulang yang semakin rapuh, menyebabkan warga emas ini berisiko tinggi untuk jatuh. Tidak kurang juga yang mengalami tekanan disebabkan perubahan dinamik keluarga, kehilangan upaya untuk bekerja, ingatan yang semakin kurang dan sebagainya, merisikokan mereka menghadapi tekanan, anzieti, depresi (kemurungan) dan lain-lain.
Oleh itu, ilmu penjagaan kesihatan yang holistik meliputi kesihatan fizikal dan mental adalah perlu disampaikan kepada golongan ini bagi memastikan mereka dapat menjalani usia tua dengan lebih bersedia.
Karnival yang berjaya menarik kehadiran lebih 100 orang warga emas tempatan ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti saringan kesihatan bagi penyakit tidak berjangkit, saringan kanser kolorektal, saringan kanser serviks, pemeriksaan gigi percuma oleh Klinik Pergigian Setapak dan pameran kesihatan gigi termasuk penjagaan gigi palsu.
Terdapat juga saringan kesihatan minda dan saringan risiko jatuh yang dijalankan oleh NGO dan sukarelawan dari Malaysian Healthy Ageing Society (MHAS).
Selain itu, terdapat juga saringan jisim otot (sarcopenia) yang dijalankan oleh Unit Terapi Carakerja dan saringan jisim tubuh oleh Unit Diet (pakar pemakanan). Fokus kali ini, warga emas diberi penerangan tentang pentingnya pengambilan makanan berprotein bagi mengekalkan jisim otot yang sihat bagi mengelakkan mereka mudah jatuh dan berlaku patah tulang.
Mereka juga didedahkan dengan senaman-senaman termasuk ‘chair aerobics’ oleh unit fisioterapi agar warga emas yang tidak mampu berdiri lama juga dapat sentiasa kekal sihat dan aktif. Unit Farmasi juga tidak ketinggalan membuat pameran Penjagaan Ubatan dengan pelbagai tips penyimpanan ubatan di rumah dan juga mengenalpasti ubat-ubat palsu.
Sebuah stesen yang menarik juga adalah stesen ‘Dementia’ di mana warga emas yang hadir diberi makluman tentang aktiviti yang dapat dilakukan di rumah seperti ‘brain gym’ bagi mengekalkan daya ingatan dan fungsi kognitif yang baik. Akhir sekali, terdapat pameran keselamatan pemakanan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mengetengahkan pemilihan makanan yang bersih dan sihat, pewarna yang dibenarkan dan yang berbahaya untuk digunakan.
Warga emas-warga emas yang kurang berkemampuan juga turut tidak dilupakan. Semasa karnival dijalankan, seramai 50 orang warga emas tempatan yang dipilih oleh Persatuan Penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga masing-masing turut hadir menerima pek makanan kering sumbangan Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah. Enam buah lampin pakai buang dan lima buah kerusi roda sumbangan Kelab Amal Prihatin Setiawangsa dan Restoran Ali Maju turut diedarkan kepada warga emas yang memerlukan. Cermin mata (reading glasses) turut diedarkan kepada warga emas secara percuma.
Semoga karnival seperti ini terus dapat dijalankan dari masa ke semasa agar lebih ramai warga emas mendapat manfaat dan agar usaha kerajaan untuk memperkasa dan mempertingkatkan tahap kesihatan golongan warga emas berjaya.
Disediakan oleh: Dr Rafidah bt Mohd Rafie Pakar Perubatan Keluarga dan Ketua Klinik Kesihatan Setapak, Kuala Lumpur