Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM) Iktiraf Pakar Industri Keusahawanan di Malaysia
KUALA LUMPUR, 23 Disember 2024 – Majlis Hi-Tea dan Penganugerahan Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM) 2024 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur.
Anugerah tahun ini turut menyaksikan penyertaan penerima daripada pelbagai latar belakang kaum di Malaysia, tanpa mengira Melayu, Cina, India, dan lain-lain, mencerminkan kepelbagaian dan semangat inklusif dalam keusahawanan.
Menurut Presiden Kebangsaan MPPM, Prof. Madya Dr. Zam@Ab Razak Zamri,penganugerahan pakar industri ini juga adalah sebagai satu platform bagi para usahawan dan golongan profesional yang berkelayakan untuk diberi pengiktirafan di dalam bidang masing-masing.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja menghargai usaha dan dedikasi mereka tetapi juga memberi motivasi kepada masyarakat usahawan lain untuk terus berinovasi dan mencipta impak positif dalam ekonomi negara,” tambah beliau.
“Pengiktirafan Pakar Industri (Industry Specialist) yang kita saksikan pada hari ini merupakan salah satu inisiatif utama MPPM untuk memberi pengiktirafan kepada individu yang telah mencapai tahap kepakaran tinggi dalam bidang industri masing-masing.
Proses pencalonan bagi setiap pakar industri dipilih berdasarkan profil mereka melalui penilaian yang teliti dari segi kredibiliti, integriti, dan profesionalisme oleh Jawatankuasa Penilaian Pakar Industri MPPM.
Dalam acara ini, setiap penerima Anugerah Pengiktirafan Pakar Industri MPPM telah melalui proses penilaian yang ketat oleh Jawatankuasa Penilaian MPPM, yang terdiri daripada golongan akademik dan industri.
Penerima anugerah ini mesti mempunyai pengalaman lebih daripada 5 tahun dalam industri masing-masing, menunjukkan prestasi cemerlang dan memberi impak yang signifikan dalam sektor mereka.
YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan, Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya turut menekankan pentingnya prinsip Malaysia Madani yang berfokuskan kepada keusahawanan beretika, inklusif, dan inovatif dalam membangunkan negara.
Beliau menyeru semua penerima anugerah untuk terus menjadi inspirasi kepada generasi usahawan muda dan menunjukkan bahawa dengan dedikasi dan semangat yang tidak pernah luntur, setiap cabaran dapat dijadikan peluang.
Di dalam Majlis Penganugerahan yang penuh gemilang ini juga menyaksikan pengiktirafan yang julung-julung kalinya di peringkat kebangsaan, iaitu Anugerah Felo Kehormat diberikan kepada YB Timbalan Menteri di atas jasa serta sumbangan bakti beliau yang sangat besar dan signifikan kepada pembangunan sosio-ekonomi, politik, pembangunan perniagaan dan keusahawanan, kemasyarakatan serta prinsip mesra rakyat pelbagai kaum sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan.
Pencalonan ini juga telah diiktiraf serta diperakui oleh keseluruhan Ahli Majlis MPPM di atas kepimpinan beliau yang sangat cemerlang serta dedikasi yang berterusan sehingga ke peringkat kementerian.
Selain itu, beliau turut menegaskan betapa pentingnya kerjasama antara sektor pembinaan dan sektor keusahawanan dalam menyokong pembangunan ekonomi negara.
Kementerian Kerja Raya komited untuk terus menyokong pembangunan sektor keusahawanan dan pembinaan, serta mencipta lebih banyak peluang untuk usahawan tempatan di peringkat nasional dan global.
Dengan usaha berterusan oleh Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM), diharap sektor keusahawanan negara akan terus maju dan memberi sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia yang lebih mampan dan berdaya saing di peringkat global.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan, Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya, dan turut dihadiri oleh Presiden Kebangsaan MPPM, Prof. Madya Is. Dr. Zam@Ab Razak Zamri, barisan Ahli Majlis MPPM, pemimpin industri, dan masyarakat usahawan.
Sementara itu, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid, salah seorang penerima anugerah Pakar Industri, berkongsi visi dan usaha beliau dalam memperkasakan bakat tempatan di Malaysia, khususnya dalam sektor minyak dan gas.
Sebagai individu yang terlibat aktif dalam operasi industri ini, beliau menekankan kepentingan membangunkan kepakaran tempatan untuk memenuhi keperluan perniagaan antarabangsa.
“Kita perlu memberi peluang kepada orang tempatan untuk memperoleh pengalaman dan kemahiran dalam sektor ini, supaya mereka dapat bersaing di peringkat global,” katanya.
Abdul Aziz turut mencadangkan inisiatif seperti webinar yang fokus kepada pembangunan keupayaan orang Melayu dalam industri minyak dan gas.
Usaha ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan kedudukan bakat tempatan dalam sektor strategik.
Mengulas tentang syarikatnya yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah, beliau menjelaskan bahawa syarikat tersebut beroperasi sejak tahun 2016 dan telah bekerjasama dengan syarikat antarabangsa untuk memastikan bakat tempatan diberi peluang berkembang.
“Saya yakin program-program seperti ini mampu membuka lebih banyak peluang dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri minyak dan gas,” tambahnya.
Dengan anugerah ini, Abdul Aziz berharap lebih ramai individu dan organisasi akan terinspirasi untuk memainkan peranan dalam membangunkan bakat tempatan, sekaligus meningkatkan daya saing ekonomi negara.