Ops kesan dilancar semula, buru majikan dan pekerja ingkar daftar – PERKESO

  • June 9, 2022
  • 3 min read
Ops kesan dilancar semula, buru majikan dan pekerja ingkar daftar – PERKESO

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini telah
melancarkan Ops Kesan Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dalam usaha mengesan majikan yang gagal mendaftar dengan PERKESO, sekaligus memastikan setiap pekerja yang layak akan mendapat perlindungan keselamatan sosial sewajarnya.


Susulan operasi yang tidak dapat dilaksanakan pada tahun lepas, Ops Kesan kali ke-
13 ini dianjurkan selepas Tempoh Pemutihan berakhir pada 31 Mei lalu. Sepanjang
sebulan tempoh tersebut, sebanyak 8,843 majikan baharu telah tampil mendaftar. Ia
merekodkan peningkatan memberangsangkan iaitu lebih 14%, berbanding dengan jumlah majikan baharu yang mendaftar pada bulan April 2022, iaitu sebanyak 7,709 majikan.


Sementara itu, seramai 85,181 Orang Bekerja Sendiri (OBS) dalam Sektor Pengangkutan Penumpang dan Pengangkutan Barangan dan Makanan telah mendaftar pada bulan Mei 2022, berbanding hanya 4,983 orang sahaja yang berdaftar pada bulan April 2022.

Ini mencatatkan peningkatan melebihi 17 kali ganda yang direkodkan sepanjang Tempoh Pemutihan.

Statistik majikan dan OBS ini menunjukkan
tempoh pemutihan yang dilaksanakan PERKESO berkesan dalam menggalakkan
mereka mendaftar secara sukarela.

Ops Kesan kali ini menyaksikan seramai 500 anggota PERKESO di seluruh negara turun
padang secara serentak, setelah operasi ini dihentikan sementara tahun lepas akibat
penularan pandemik COVID-19.

Pelancaran Ops Kesan ke-13 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Selangor.


Bertemakan ‘Merealisasi Pematuhan Optimum’, operasi kali ini memberi tumpuan
kepada majikan-majikan yang layak namun masih belum mendaftar di bawah Akta
Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017
(Akta 800). Semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja
tanpa mengira had gaji, termasuk pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini,
wajib mendaftar dalam masa 30 hari daripada tarikh pekerja tersebut diambil bekerja.


Kegagalan majikan mendaftarkan pekerja mereka di bawah kedua-dua – Akta 4 dan Akta
800 boleh menyebabkan majikan dipenjara sehingga 2 tahun atau didenda RM10,000
atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.


Ops Kesan tahun ini juga menyaksikan PERKESO buat kali kedua menjalankan operasi
mengesan Orang Bekerja Sendiri (OBS) dalam dua sektor yang diwajibkan mendaftar di
bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), iaitu Sektor
Pengangkutan Penumpang dan Pengangkutan Barangan dan Makanan.

Jika sabit kesalahan, OBS boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya sekali. Sehingga 28 Mei 2022, seramai 346,313 atau lebih kurang 14% OBS di seluruh negara telah mencarum, berbanding jumlah keseluruhan
OBS di Malaysia iaitu kira-kira 2.38 juta.


Sehingga 31 Mac 2022, sebanyak 527,659 majikan aktif telah berdaftar di bawah Akta 4
yang meliputi seramai 8.74 juta pekerja, termasuk 1.99 juta pekerja asing. Walau
bagaimanapun, PERKESO percaya masih ada segelintir majikan yang menggaji pekerja
tetapi belum mendaftar terutamanya perusahaan baharu.

Pada 1 Jun 2021, liputan Akta 4 dan Akta 800 telah diperluas kepada pekerja domestik
tempatan dan Akta 4 untuk pekerja domestik asing. Sehingga 5 Jun 2022, sejumlah
9,557 majikan yang menggajikan pekerja domestik telah berdaftar dengan PERKESO.
Ia mewakili seramai 10,298 orang pekerja domestik tempatan dan asing. Sebelum
ini, tempoh kelonggaran (cooling off) untuk mendaftar turut diberi kepada majikan dan
pekerja domestik dan telah berakhir pada 31 Mei 2022.


Semenjak tahun 2019 hingga 31 Disember 2021, sejumlah 5,896 notis kompaun
dengan nilai RM1.96 juta telah dikeluarkan atas kesalahan gagal mendaftar perusahaan
dan pekerja. Selain itu, sebanyak 6,579 kes telah diambil tindakan pendakwaan atas
pelbagai kesalahan dalam tempoh sama.
PERKESO menggesa semua majikan yang layak dan OBS agar tampil untuk berdaftar
secara dalam talian atau hadir di mana-mana 54 pejabat PERKESO di seluruh negara.


Sila layari laman web rasmi PERKESO di www.perkeso.gov.my atau hubungi nombor
Careline PERKESO di 1-300-22-8000 untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *