PRESIDEN BULGARIA RASMI MESYUARAT LEMBAGA ICA

Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sangat penting bagi memajukan sektor ekonomi dalam kalangan negara-negara anggotanya.
Justeru, perdagangan antara negara perlu dipergiatkan khususnya dalam membantu mengatasi keadaan ekonomi dunia yang lemah.
Demikian menurut Presiden Bulgaria, Mr. Rumen Radev sewaktu berucap dalam majlis perasmian Mesyuarat Lembaga ICA pada 9 Mac 2023 di Sofia, Bulgaria. Turut hadir ialah Menteri Pertanian Bulgaria, Mr. Yavor Gechev.

Beliau antara lainnya menyarankan supaya Bulgaria Coop Union terlibat dalam perniagaan yang lebih berdaya saing.
Dr. Rumen juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua Anggota Lembaga ICA yang telah memberikan sokongan kepada Bulgaria Cooperative Union atas penganjuran mesyuarat di Sofia selain berharap agar delegasi selesa dan berkesempatan menikmati keindahan di Bulgaria.
Mesyuarat diteruskan selepas tamat majlis perasmian. Peguam ICA telah membentangkan perubahan dalam By-Law ICA. Perubahan tersebut adalah perlu mengikut New Belgium Company of Association yang baharu iaitu mengkehendaki Presiden, 4 Naib Presiden, 14 Ahli Lembaga dan 8 Ketua Sektor yang terdapat dalam ICA hadir dalam Mesyuarat Lembaga.
Perubahan itu adalah penting kerana sebelum ini 8 sektor yang terlibat seperti pertanian, perbankan, konsumer, perikanan, perhutanan, audit, pendidikan dan kesihatan tidak terlibat sama. Cadangan tersebut telah dipersetujui dan akan dibawa dalam mesyuarat akan datang pada 30 Jun di Brussel.
Agenda mesyuarat seterusnya adalah mengenai Laporan Jawatankuasa Keahlian. Terdapat 315 ahli dalam ICA dari 170 negara. Asia Pasifik merekodkan jumlah keanggotaan tertinggi iaitu 40 buah negara termasuk Malaysia.
ICA mengalami pengurangan daripada jumlah ahli kerana masalah pembayaran yuran tahunan. Banyak negara terlibat seperti negara di Afrika dan Amerika Latin tidak mampu kerana jumlah GDP koperasi masing-masing adalah rendah.
Justeru, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengkaji kaedah terbaik bagi mengurangkan yuran tahunan kepada negara-negara terlibat
Ahli Lembaga ICA merangkap Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail telah membentangkan laporan mengenai aktiviti menanam satu juta pokok yang telah bermula dalam tahun 2022 hingga kini.
Katanya, aktiviti tersebut dijalankan di seluruh negeri di Malaysia sebagai tanda sokongan ANGKASA terhadap SDG yang diperjuangkan oleh ICA.
ANGKASA juga turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada ICA-AP kerana memberi kepercayaan kepada Malaysia sebagai tuan rumah bagi program ‘Youth Summit’ di Sabah pada bulan Julai 2023.
Program itu dijangka akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri semasa sambutan Hari Koperasi Negara pada tarikh yang sama. ANGKASA berharap agar lebih ramai peserta dari negara Asia Pasifik akan hadir.
Dato’ Haji Kamarudin telah memaklumkan pada ahli mesyuarat bahawa ANGKASA turut menyumbang kepada Turki dan Syria sebanyak 20 ribu Euro sebagai bantuan kepada mangsa gempa bumi. Katanya, selain ANGKASA, anggota koperasi di Malaysia juga sedang giat mengumpulkan dana bagi membantu kedua buah negara tersebut.
Dato’ Haji Kamarudin turut mencadangkan agar negara-negara ICA mempunyai data produk negara masing-masing yang boleh dipamerkan dalam laman web ICA untuk memudahkan perdagangan antara negara yang terlibat.
Beliau juga mengambil kesempatan dengan mengucapkan terima kasih kepada Bulgaria Coop Union atas penganugerahan Medal Gold Award kepada beliau sebagai mewakili ANGKASA dan Malaysia.