KOTA KINABALU – Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat disifatkan sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut kenyataan, perkara berkenaan melalui proses rundingan terperinci, penelitian perundangan serta penyelarasan dasar menerusi platform Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) sebelum diluluskan Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, pindaan itu antara kejayaan dalam agenda pemerkasaan MA63, sekali gus mengukuhkan hak dan kedudukan kedua-dua negeri di bawah pimpinan Kerajaan MADANI.
Beliau menjelaskan, melalui RUU berkenaan, kuasa pengurusan dan kawal selia buangan terjadual di darat serta dalam perairan negeri diberikan kepada Sabah dan Sarawak, selaras dengan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, perkara itu merupakan antara 29 tuntutan MA63 yang diteliti melalui pelbagai platform rundingan termasuk MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



