PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meningkatkan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina 2026 bagi memastikan kestabilan harga dan melindungi pengguna daripada manipulasi harga.

Dalam satu kenyataan media, KPDN memaklumkan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 berkuat kuasa selama sembilan hari bermula 13 hingga 21 Februari lalu sebagai komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara kebajikan rakyat dan menangani kos sara hidup sepanjang musim perayaan.
Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 10,672 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara dengan 1,357 kes direkodkan, melibatkan kompaun berjumlah RM157,000 serta sitaan bernilai RM40,361.57.

Menurut kementerian itu, strategi penguatkuasaan intensif dilaksanakan melalui beberapa pendekatan utama termasuk pemeriksaan fizikal harian di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah melibatkan peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
Selain itu, lebih 2,400 pegawai penguat kuasa digerakkan di seluruh negara menerusi inisiatif Ops Pantau 2026 bagi memastikan pematuhan peraturan serta memberi keyakinan kepada pengguna.

KPDN turut mewajibkan penggunaan label harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal untuk memudahkan pengguna mengenal pasti barangan di bawah skim tersebut.
Tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) juga diambil terhadap peniaga yang menjual melebihi harga maksimum, gagal meletakkan tanda harga atau melakukan manipulasi harga yang tidak munasabah.
Dalam masa sama, KPDN bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan keperluan seperti ikan dan sayur-sayuran sentiasa mencukupi di pasaran.
KPDN memaklumkan pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 berjalan lancar dan mencapai objektif ditetapkan, sambil menegaskan pemantauan terhadap harga dan bekalan barangan keperluan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan boleh menyalurkan maklumat kepada KPDN melalui saluran rasmi kementerian tersebut.



