MCW Sambut Baik Cadangan Penstriman Langsung Perbicaraan Kes Rasuah

KUALA LUMPUR, 5 Mac 2026 – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyambut baik keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional untuk melaksanakan penstriman langsung perbicaraan kes rasuah di peringkat Mahkamah Rayuan bagi tontonan umum.


Presiden MCW, Jais Abdul Karim, berkata langkah tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh ketelusan institusi serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan satu reformasi penting dalam usaha memerangi rasuah secara lebih terbuka dan bertanggungjawab.


“Selama ini kes rasuah berprofil tinggi sering mendapat perhatian masyarakat, namun kebanyakan maklumat yang diterima orang ramai datang daripada laporan media atau perbincangan di media sosial yang kadangkala tidak memberi gambaran menyeluruh mengenai proses perbicaraan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, penstriman langsung akan memberi peluang kepada rakyat melihat sendiri proses keadilan dijalankan, termasuk hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta pertimbangan hakim berdasarkan fakta dan undang-undang.
Menurut MCW, langkah itu juga berpotensi mengurangkan manipulasi fakta oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba membentuk persepsi tertentu melalui petikan atau potongan maklumat yang diambil di luar konteks prosiding mahkamah.


Selain itu, ia turut berperanan sebagai medium pendidikan kepada masyarakat mengenai bagaimana sistem keadilan berfungsi serta standard pembuktian yang diperlukan dalam sesuatu kes rasuah.
Bagaimanapun, MCW mencadangkan agar pelaksanaan penstriman tersebut disertakan dengan garis panduan yang jelas bagi memastikan integriti prosiding mahkamah terus terpelihara.


Antara cadangan termasuk penggunaan platform rasmi badan kehakiman bagi menjamin ketulenan siaran, kawalan terhadap penyuntingan atau penyebaran semula rakaman prosiding serta perlindungan terhadap saksi dan pemberi maklumat yang terlibat dalam sesuatu kes.
Menurut Jais, jika dilaksanakan dengan teliti dan berhemah, penstriman langsung perbicaraan kes rasuah berpotensi menjadi mercu tanda penting dalam memperkukuh budaya integriti, ketelusan serta kebertanggungjawaban dalam sistem keadilan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *