KUALA LUMPUR (30 MAC 2026) – MMM menegaskan bahawa dalam banyak keadaan, kerja kewartawanan – termasuk berada di lokasi kejadian, membuat pemerhatian, dan mendapatkan maklumat – adalah sebahagian daripada fungsi sah media dalam melaporkan isu kepentingan awam. Oleh itu, tafsiran “menceroboh” dalam konteks kerja liputan perlu diperjelaskan secara teliti agar tidak mengkriminalisasikan tugas wartawan.


Sebarang tindakan terhadap wartawan mesti dinilai secara ketat berdasarkan prinsip keperluan dan kesepadanan. Adalah penting untuk membezakan dengan jelas antara pelanggaran undang-undang yang sebenar dan aktiviti kewartawanan yang sah.
MMM turut menekankan bahawa proses siasatan perlu dijalankan secara telus, profesional, dan menghormati hak wartawan untuk menjalankan tugas tanpa gangguan atau tekanan yang tidak wajar.


Kes ini menimbulkan persoalan lebih luas mengenai ruang akses wartawan ke lokasi dan peristiwa berkepentingan awam, serta keperluan garis panduan yang jelas antara pihak berkuasa dan pengamal media.
MMM akan terus memantau perkembangan kes ini.



