KUALA LUMPUR — Kabinet hari ini bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) untuk semua kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi mengumumkan bahawa perincian pelaksanaan akan menyusul. Namun, dalam taklimat ringkas itu, beliau menyelitkan teguran tajam kepada golongan berada supaya tidak mempamerkan kekayaan secara berlebihan di kala rakyat jelata masih terhimpit.
“Sebelum ini kita umum akan ambil langkah awal dan ini termasuk sambutan Aidilfitri yang lebih terkawal, selain kerajaan akan mengurangkan dengan langkah penjimatan dan sambutan yang jauh lebih sederhana,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata, langkah BDR itu bukan sekadar soal operasi pentadbiran, tetapi juga mencerminkan keprihatinan terhadap suasana semasa.
“Saya ucap setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang mengikuti semangat ini dan tidak angkuh, tidak boros, tidak anggap keadaan ini biasa mempamerkan kekayaan sewenang-wenang dan menunjukkan seolah-olah tidak ada yang terkesan.
“Sikap ini akan merugikan kita kerana rakyat di bawah sana – petani, nelayan, pekerja – masih ramai yang terhimpit,” ujar Ahli Parlimen Tambun itu.
Latar Belakang Ketegangan Global
Pengumuman itu dibuat ketika ketegangan di Asia Barat semakin memuncak sejak 28 Februari lalu, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran, diikuti tindakan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk. Perdana Menteri sebelum ini menyatakan bahawa impak daripada konflik tersebut turut mempengaruhi pertimbangan kerajaan dalam mengurus ekonomi negara.
Bantuan Segera: Kuota BUDI MADANI Dinaikkan
Dalam pada itu, bagi meringankan beban rakyat, Perdana Menteri mengumumkan dua langkah segera berkuat kuasa hari ini:
- Kuota BUDI MADANI dinaikkan daripada 95 liter kepada 200 liter sebulan sebagai langkah sementara.
- Pengisian diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan mula dikuasakan sepenuhnya.
Sambil menasihati golongan kaya dan berkedudukan supaya tidak alpa, beliau menegaskan bahawa dalam suasana yang menekan ini, keprihatinan dan bantuan kepada yang memerlukan bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.
“Tetapi oleh kerana kita tahu kesannya…,” katanya, merujuk kepada kesan krisis global serta keputusan kerajaan untuk mengamalkan kesederhanaan di semua peringkat.



