SERDANG: Menjadikan layar perak sebagai medium untuk menyampaikan mesej pemuliharaan, filem Last Dive mengangkat isu kelestarian laut dan ancaman terhadap ekosistem marin menerusi sesi perkongsian serta tayangan treler sempena Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2026 di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang, hari ini.
Filem berkenaan dijangka bakal menemui penonton di pawagam pada Disember 2026, dengan membawa mesej mengenai kepentingan menjaga lautan, pemuliharaan ekosistem marin serta kesedaran masyarakat terhadap kehidupan di dasar laut.


Program berkenaan turut dihadiri Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, serta Dato’ Haji Adnan Hussain, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Turut hadir Datin Dr Wendy Wong, Penerbit, Pengarah dan Penulis Last Dive; Dato’ Nancie Foo, Penerbit Last Dive; serta Sandra Lim, Pelakon, Model dan Ratu Cantik Malaysia 2024.
Datuk Chan Foong Hin berkata tayangan treler Last Dive merupakan sesuatu yang agak jarang diketengahkan dalam MAHA, memandangkan kebanyakan program yang dianjurkan pada pameran berkenaan lazimnya berkisar mengenai aktiviti pertanian.
“Jarang kita melihat tayangan treler filem yang berkaitan dengan lautan dan perikanan diadakan dalam acara seperti MAHA. Kebanyakan program di MAHA lebih tertumpu kepada aktiviti pertanian,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan isu pemuliharaan laut menerusi filem Last Dive amat bertepatan dengan tanggungjawab serta peranan Jabatan Perikanan Malaysia dalam memastikan kelestarian sumber perikanan negara. Menurutnya, antara isu yang diberi perhatian ialah masalah ‘ghost net’, iaitu peralatan menangkap ikan yang ditinggalkan, hilang atau terbuang di laut sehingga terus memerangkap hidupan marin.
“Apabila ikan terperangkap dalam ghost net, ia bukan sahaja memberi kesan kepada sumber perikanan, malah boleh menimbulkan cabaran besar terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar, khususnya ekosistem laut,” katanya.


Penerbit Filem Datin Dr Wendy Wong berkata, Last Dive dihasilkan dengan niat untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat, khususnya dalam memberikan kesedaran kepada generasi muda mengenai kepentingan konservasi laut.
Katanya, masyarakat perlu memahami bahawa usaha melindungi laut bukan sekadar mengenai alam sekitar pada masa kini, sebaliknya berkait rapat dengan masa depan generasi akan datang.
“Kita harus melindungi laut, melindungi masa depan,” katanya.
Wendy berkata pihak produksi turut mahu membawa mesej filem itu kepada khalayak lebih luas, bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat di seluruh dunia.
Menurutnya, Last Dive juga mendapat sokongan Jabatan Perikanan Malaysia sejak peringkat awal penerbitan, termasuk ketika proses penggambaran.



Apa yang membezakan Last Dive, katanya, ialah pendekatan produksi yang tidak mahu menjadikan laut dan pantai sekadar latar belakang untuk menghasilkan visual yang cantik.
Sebaliknya, filem itu cuba membawa penonton melihat apa yang sebenarnya wujud di bawah permukaan laut, termasuk terumbu karang, penyu, ikan dan ekosistem marin.

“Lautan yang kita ada ini adalah kehidupan kita dan kita perlu menjaganya untuk masa depan,” katanya.
Sementara itu, penerbit filem, Dato’ Nancie Foo, berkata Last Dive membawa mesej yang diharapkan dapat disampaikan kepada masyarakat menerusi medium filem.


Menurutnya, selain isu pemuliharaan laut, karya berkenaan turut memberi perhatian kepada komuniti OKU dengan menunjukkan bahawa tiada perkara yang mustahil untuk dilakukan oleh golongan berkenaan.
Beliau berharap dua mesej utama yang diketengahkan dalam filem itu dapat disampaikan kepada penonton dan seterusnya diperluaskan kepada masyarakat di luar Malaysia.

Dalam pada itu, Sandra Lim, yang merupakan antara pelakon filem berkenaan selain bergelar Model dan Ratu Cantik Malaysia 2024, Miss Universe Malaysia, berkata golongan muda perlu lebih peka terhadap isu yang berlaku di Malaysia.
Menurut Sandra, kesedaran merupakan perkara penting kerana seseorang yang tidak mengetahui sesuatu isu mungkin tidak memahami mengapa perkara itu perlu diberi perhatian.
Katanya, sebagai generasi muda dan individu yang mempunyai platform sebagai Ratu Cantik Malaysia, beliau sentiasa melihat setiap filem dan kerja yang dilakukan sebagai peluang untuk membawa mesej positif kepada masyarakat.
“Saya harap generasi muda kita boleh lebih sedar tentang masalah yang ada di Malaysia,” katanya.
Sandra berkata Last Dive bukan sekadar sebuah filem untuk hiburan, sebaliknya turut membawa mesej yang boleh membuka mata masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
Beliau berharap penonton khususnya golongan muda dapat mengambil mesej yang dibawa filem itu dan menjadi lebih prihatin terhadap isu pemuliharaan alam sekitar.



Dengan mengetengahkan realiti ekosistem marin melalui kisah dan visual dasar laut, Last Dive diharap dapat mengubah perspektif penonton bahawa lautan bukan sekadar tempat yang indah untuk dijadikan latar sesebuah filem, tetapi merupakan ekosistem penting yang perlu dilindungi.
Filem Last Dive dijangka menemui penonton di pawagam pada Disember 2026. – UTV



