KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa pembangunan bola sepak akar umbi menerima suntikan baharu menerusi jalinan kerjasama antara Super Safee Soccer School dan komuniti automotif, AMG UNDRGRND yang dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda untuk diketengahkan secara lebih tersusun.

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali menyifatkan kolaborasi itu sebagai platform terbaik untuk mendekati masyarakat sambil membentuk sahsiah pemain muda agar lebih berdisiplin dan mempunyai mentaliti kompetitif.
Menurutnya, pendekatan yang menggabungkan elemen sukan dan komuniti berupaya menjadikan bola sepak sebagai medium penyatuan tanpa mengira latar belakang.

“Program seperti ini bukan sahaja melibatkan latihan di padang, tetapi turut mendidik nilai kehidupan dan semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong dan agihan bubur lambuk di Surau Al Hidayah, Taman Wahyu.
Tambah Safee, kerjasama tersebut memberi dimensi baharu dalam merancang pembangunan pemain secara holistik selain menjadi saluran untuk menyebarkan pengaruh positif kepada golongan belia.
Beliau dalam masa sama berharap inisiatif berkenaan menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek pembangunan akar umbi yang mampu memberi kesan jangka panjang kepada bola sepak negara.
Sementara itu, Presiden Kelab Pemilik Mercedes-Benz Utama Selangor, Mohamed Iftitah Abd Latif menjelaskan penglibatan pihaknya tercetus daripada minat mendalam ahli terhadap sukan bola sepak serta keinginan untuk menyumbang kepada komuniti.
Katanya, kerjasama tersebut bukan sahaja melibatkan ahli kelab, malah membuka ruang kepada keluarga dan rakan-rakan untuk turut serta dalam aktiviti pembangunan bakat.
“Kami melihat potensi besar untuk mengembangkan program ini kerana komuniti kami cukup luas dan mempunyai minat yang sama terhadap bola sepak,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa nilai disiplin, fokus dan komitmen tinggi yang sinonim dengan dunia automotif berprestasi tinggi boleh diterapkan dalam latihan pemain muda.
“Ciri-ciri yang diperlukan dalam automotif sebenarnya selari dengan keperluan untuk melahirkan pemain yang bermentaliti juara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kedua-dua pihak merancang untuk melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat secara berterusan sebagai usaha memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat.
Kerjasama itu juga tidak terhad kepada aktiviti komuniti semata-mata, sebaliknya berpotensi diperluaskan kepada bentuk komersial sekiranya terdapat peluang yang bersesuaian.
Program yang berlangsung hampir tujuh jam itu mendapat sambutan menggalakkan apabila penduduk sekitar hadir seawal pagi untuk bergotong-royong sebelum 2,600 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai.
Kehadiran Safee sebagai ikon bola sepak negara turut menjadi tarikan utama yang menyemarakkan suasana dan mengeratkan hubungan antara penganjur dan komuniti.
Secara keseluruhan, gabungan dunia sukan dan automotif melalui kolaborasi ini dilihat sebagai pendekatan segar dalam membina ekosistem bola sepak akar umbi yang lebih mampan serta berupaya melahirkan lebih ramai pemain berkualiti pada masa depan.



