Istana Budaya Sasar Grand Opening 2026, Kembali Angkat Malaysia di Mata Dunia

KOTA BHARU, 7 September 2025 – Selepas hampir dua tahun ditutup untuk kerja penggantian bumbung ikonik berwarna biru, Istana Budaya dijangka kembali beroperasi awal 2026 dengan penganjuran Grand Opening berskala besar sempena Visit Malaysia Year 2026.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Istana Budaya, Johan Cruyff @ Mohd Johari Nordin, berkata acara pembukaan semula itu bakal menjadi detik bersejarah selepas kali terakhir dirasmikan pada tahun 1999 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Grand Opening kali ini kita mahu adakan dengan penuh gilang-gemilang, sama seperti ketika mula dibuka dahulu. Istana Budaya akan kembali sebagai mercu seni persembahan bertaraf dunia di Malaysia,” katanya ketika ditemui di Festival Citara Rasa di Kelantan.

Dua Tahun Tutup, Dua Tahun Bergerak

Sepanjang tempoh penutupan, Istana Budaya mengambil pendekatan proaktif dengan memperkenalkan program ‘Gerak’ – usaha membawa persembahan ke lokasi luar seperti universiti, Dewan Filharmonik Petronas dan institusi tempatan.

“Dua tahun ini sebenarnya memberi hikmah. Ramai masyarakat yang sebelum ini rasa Istana Budaya terlalu eksklusif, akhirnya dapat mengenali seni orkestra dan persembahan kita lebih dekat. Setiap kali ke universiti, kita bukan hanya buat persembahan, tapi juga bengkel bersama pelajar dan staf,” jelas Johan.

Produk Seni Utama Istana Budaya

Walaupun tidak terlibat secara langsung dengan festival makanan, Istana Budaya tetap mempromosikan produk seni kebangsaan melalui pameran, antaranya:

Orkestra Tradisional Malaysia (OTM)

Orkestra Simfoni Kebangsaan (NSO)

Artis Budaya Istana (Artistana)

Beliau menegaskan, penglibatan Istana Budaya dalam pelbagai acara adalah selaras dengan misi menyokong Visit Malaysia Year 2026 dan memperkenalkan warisan seni negara kepada masyarakat.

Harapan Baharu 2026

Menurut Johan, setelah projek penggantian bumbung selesai dijangka pada Januari atau Februari 2026, pihaknya berazam memastikan Istana Budaya menjadi pusat seni yang benar-benar dekat di hati rakyat.

“Kita mahu rakyat Malaysia rasa bangga memiliki Istana Budaya yang setanding Sydney Opera House atau Royal Albert Hall. Bila buka semula nanti, kita bukan saja akan adakan persembahan besar seperti Phantom of The Opera atau Cats, tetapi juga teruskan roadshow untuk mendekati masyarakat,” ujarnya.


👉 Dengan pembukaan semula tahun depan, Istana Budaya dijangka menjadi salah satu tarikan utama yang memeriahkan Visit Malaysia 2026 sekali gus mengangkat seni persembahan negara ke peringkat antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *