KOTA BHARU, 7 SEPTEMBER 2025 – Penganjuran Budaya Sarapan di Malaysia: Pesta Make Nasi Berlauk sempena Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 berlangsung meriah pada pagi tadi, dengan sambutan hangat daripada masyarakat setempat serta kehadiran pelbagai tetamu.



Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Kamaruddin Md Nor, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, serta YBrs. Encik Mohamad Muda bin Bahadin, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN). Turut hadir kepimpinan PUSPANITA, iaitu YBhg. Datin Yuzaira binti Yusoff, Pengerusi PUSPANITA MOTAC, dan YBhg. Datin Sharidah binti Hamad, Pengerusi PUSPANITA Negeri Kelantan.
Kehadiran mereka mencerminkan sokongan padu kerajaan dan badan kebajikan wanita terhadap usaha mengangkat warisan gastronomi sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan.




Program ini diadakan sebagai kesinambungan daripada pengiktirafan UNESCO pada tahun 2024 terhadap budaya sarapan Malaysia, yang menonjolkan hidangan popular seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik.
Kali ini, fokus diberikan kepada nasi berlauk Kelantan, makanan wajib rakyat negeri ini setiap pagi, yang mencerminkan gaya hidup serta tradisi turun-temurun masyarakat Pantai Timur.
Selain menikmati pelbagai variasi nasi berlauk seperti gulai ikan tongkol, ayam gulai, daging kerutup, udang sambal dan pelbagai ulam-ulaman, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan sisipan, antaranya nyanyian lagu loghat Kelantan oleh Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang (KBSC) Kelantan serta persembahan artis tempatan, Emi Sukmasari dan Raden Mas Uji.


Menurut Dr. Eyo Leng Yan, Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara (JWN), budaya sarapan bukan sekadar soal makanan, sebaliknya ia melambangkan perpaduan rakyat berbilang kaum yang berkumpul dan berkongsi hidangan pagi bersama-sama.
“Nasi berlauk adalah simbol identiti negeri Kelantan. Ia wajar diketengahkan bukan sahaja sebagai menu sarapan, tetapi juga sebagai warisan budaya yang menyatukan masyarakat,” katanya.




Festival ini turut memberi peluang kepada pengusaha makanan tempatan untuk mempromosikan produk mereka, sekali gus merancakkan ekonomi penjaja kecil dan menyokong pembangunan industri pelancongan makanan.
Dengan sokongan padu kerajaan negeri dan persekutuan serta sambutan orang ramai yang begitu memberangsangkan, penganjuran ini diharap dapat memperkukuh usaha memartabatkan budaya sarapan Malaysia di peringkat antarabangsa, sekaligus menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026. – UTV



