Isu bantahan pembinaan kuil di Taman Medan
Petaling Jaya – Pembinaan kuil yang mendapat kelulusan pihak Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) di kawasan Taman Medan menjadi tanda tanya walaupun mendapat bantahan penduduk sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Taman Medan, Faizal bin Syed Ariff berkata reaksi ini susulan bantahan terdahulu yang dibuat ke atas pembinaan rumah ibadat tersebut yang dianggap tidak munasabah.
“Pada mulanya terdapat bantahan daripada penduduk sekitar dan pembinaan ini tidak diteruskan. Jadi, mereka tutup semua dengan zinc. Tapi awal minggu lalu, tular pembinaan ini telah mendapat kelulusan,” jelasnya.
Menurut Faizal, penduduk sekitar mengemukakan bantahan tersebut kerana tidak mahu terpalit isu lain di kemudian hari. Ini mengambil kira majoriti penduduk di kawasan tersebut rata-rata penganut Muslim iaitu sebanyak 95 peratus.
“Kuil sudah ada dibina dalam 100 meter daripada kawasan tersebut. Dan di sepanjang sungai ada kuil yang terlalu dekat. Jadi saya berpendapat tiada keperluan untuk dibina lebih banyak lagi.
“Kawasan ini merupakan laluan utama keluar masuk untuk penduduk Taman Medan. Jika buat pintu keluar masuk di sini, akan mengakibatkan kemalangan. Jalan di sini akan menjadi lebih teruk dan lebih padat. Boleh agak apa yang akan berlaku, pada saya perancang bandar perlu melihat kesesuaian dan akibat pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya lagi, hal ini lebih menjurus kepada faktor lokasi yang tidak bersesuaian kerana apa pun yang dibina pada tapak tersebut dilihat tidak sesuai dan akan timbul isu yang lebih besar yang akan menyusahkan penduduk sekitar.
Tambahnya, pihak terbabit sepatutnya memberikan tempat yang lebih selesa sebagai lokasi pembinaan rumah ibadat tersebut dan bukanlah di jalan yang sesak dan padat.
Sementara itu, wakil daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang dikenali sebagai Kak Jan berkata beliau menganggap bahawa isu ini telah selesai, namun timbul semula pada tahun ini.
“Saya berharap agar Datuk Bandar dan juga Menteri Besar Selangor untuk cakna akan isu ini. Pihak MPPJ sepatutnya kaji terlebih dahulu kerana 95 peratus penduduk di sini adalah beragama Islam,” ujarnya.
Selain itu, faktor keselamatan pengguna jalan raya menjadi faktor utama bantahan tersebut. Tambahan pula kesesakan lalulintas pada waktu puncak akan menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya.
“Pihak atasan perlu kaji semula. Tengok balik pada segi keselamatan untuk penduduk di sini. Bayangkan pada rush hour, rider yang nak kejar order dan sebagainya. Hal ini akan merisikokan lagi pengguna di jalan raya. Kita mahukan jalan yang lancar dan harmoni, supaya urusan rakyat dipermudahkan.
“Pihak atasan perlu cakna dan ambil feedback daripada rakyat. Kalau boleh, jika ada masalah, reduce atau terus elakkan,” kata Muhammad Farid Faisal Bin Abdul Razak daripada Persatuan Kemanusiaan Rakyat Malaysia.