Solidariti untukmu Palestin – MDC Asia Link Berhad
Kota Damansara – Satu Majlis Berbuka Puasa dan Bacaan Yasin dengan tema ‘Untukmu Palestin’ dianjurkan oleh MDC Asia Link Berhad (MALB) bertempat di Hospital Pusrawi Kota Damansara.
Tujuan utama majlis ini adalah sebagai tanda solidariti dan sokongan penuh kepada rakyat Palestin yang ditindas dan menerima serangan bertubi-tubi daripada rejim Zionis.
Isu penindasan ini bukanlah sesuatu isu yang baru. Malah, kekejaman yang dialami rakyat Palestin bukan hanya mendapat sokongan daripada negara Islam, malah negara bukan Islam.
Dr Aslan Bin Bacho, CEO MALB berkata perhimpunan yang telah dianjurkan oleh Malaysia terlihat kecil berbanding negara luar yang bukan hanya meliputi negara islam tetapi seantero dunia seperti di Afghanistan, Afrika dan Somalia.
Mengulas lanjut mengenai keadaan di Palestin, beliau menyeru kepada orang ramai untuk sama-sama membantu rakyat Palestin semampu yang boleh.
“Tuan puan, kita tak mampu nak angkat senjata, tak mampu nak jadi sukarelawan, kalau dengar nak masuk Palestin tu kecut perut kita. Apa yang boleh kita tolong? Ada yang jawab, berdoa. Tapi sampai bila.
“Orang dh hantar jet pejuang, bekalan medikal, barang makanan dan seumpamanya, kita hanya mampu hantar doa,” katanya.
Jelasnya, rakyat Malaysia mampu untuk membuat perubahan bersama dengan memberi bantuan derma walaupun kecil nilainya, boikot secara berterusan, mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin tanpa henti, memberikan pendedahan kepada generasi masa hadapan dan menetapkan minda untuk sama-sama melakukan perubahan.
“Kita kena start dari diri sendiri, lepas tu keluarga dan orang lain. Saya angkut anak-anak saya ke Dataran Merdeka tempoh hari. Walaupun mereka masih kecil, saya mahu mereka faham perasaan rakyat Palestin yang tertindas. Kita fahamkan keluarga kita apa yang sedang berlaku sekarang ini,” ujarnya.
Dr Aslan berkata bahawa penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin menyedarkan rakyat Malaysia erti bersyukur.
“Terlalu banyak perkara yang perlu disyukuri. Mungkin ada yang diuji dengan sakit, pembedahan, dan diuji dengan ahli keluarga yang sakit. Namun terlalu jauh bagai langit dan bumi, dengan keadaan mereka disana. Mereka tersekat dan diserang tanpa henti di negara sendiri.
“Kita berpuasa. Bagaimana rasanya tak makan sehingga 11 jam? Terasa laparnya. Makanan pun tiada disana. Dengan yang sudah cedera parah. Hospital tempat berteduh untuk mendapatkan perubatan. Ramai pesakit dan anak kecil tapi di situlah menjadi tempat pengeboman.
“Ini isu kemanusiaan. Kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa dan wanita menjadi sasaran mereka. Mereka bom kanak-kanak, wanita dan orang tua seperti tiada peraturan, seperti kata Perdana Menteri, mengikut hukum rimba,” jelasnya.
Sementara itu, Dr Aslan juga menyeru agar peribadi yang ditunjukkan oleh ahli kesihatan di Palestin menjadi ikutan terbaik buat rakyat Malaysia.
“Di mana pendirian kita, sokongan kita. Setkan mindset kita, educate anak-anak kita yang akan menjadi pemimpin masa depan. Apa yang kita boleh tolong dalam bidang kesihatan ini adalah dengan melihat anggota paramedik dan petugas kesihatan disana yang serba kekurangan namun tetap menjalankan tugas dengan baik. Kita contohi lah mereka,” katanya.
Majlis solidariti buat rakyat Palestin tersebut diakhiri dengan doa dan bacaan yaasin.
“Ya Allah, kami tak mampu beri sumbangan beribu, kami tidak mampu hadirkan diri kesana. Kami berhimpun dan berpuasa hari ini, ya Allah, kami panjatkan doa buat saudara di Palestin. Tanamkan di hati kami, anak-anak kami, perjuangan sahabat kami di Palestin. Kami tidak mampu melihat penderitaan saudara kami di sana. Walaupun kami jahil ya Allah, tetapi perasaan kemanusiaan ini kau berikan. Jangan biarkan mereka lemah. Bantulah mereka ya Allah dan para tentera di sana. Mereka menegakkan agamamu ya Allah, mereka mempertahankan masjidil aqsa ya Allah.
Bantu kami ya Allah, satukan lah hati kami ya Allah, seluruh umat islam, jangan biar kami berpecah belah.
Kau angkatlah doa kami. Ampunkanlah dosa kami, rahmati lah kami.”