KOPERASI SEBAGAI KAEDAH TANGANI MASALAH KENAIKAN KOS SARA HIDUP

  • February 19, 2023
  • 2 min read
KOPERASI SEBAGAI KAEDAH TANGANI MASALAH KENAIKAN KOS SARA HIDUP

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berharap agar mesej untuk membudayakan koperasi dalam kalangan masyarakat dapat diperkukuhkan sekali gus menjadikan koperasi sebagai gaya hidup bagi menangani masalah kos sara hidup yang semakin tinggi.

Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama padu daripada pelbagai agensi di bawah KUSKOP dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap koperasi dan seterusnya menjadikan koperasi sebagai satu wadah pilihan rakyat.

Justeru, kementeriannya berhasrat agar lebih banyak koperasi dalam kalangan B40, Orang Kelainan Upaya (OKU), miskin bandar, masyarakat luar bandar, pedalaman dan masyakarat orang asal/asli dapat ditubuhkan. Penubuhan tersebut adalah penting bagi membolehkan saluran bantuan yang sewajarnya dapat diberikan kelada anggota koperasi yang terlibat.

“Seramai 2.78 juta atau 40 peratus daripada jumlah isi rumah di Malaysia merupakan golongan B40. Justeru, koperasi boleh memainkan peranan yang penting dalam membantu meningkatkan kesejahteraan hidup golongan tersebut.

Dengan adanya penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat, ia dapat mencorakkan masa depan gerakan koperasi yang lebih cemerlang”, ujar beliau.

Katanya lagi, Sabah dengan bilangan anggota koperasi lebih 340 ribu orang majoritinya merupakan masyarakat luar bandar. Mereka sebenarnya amat memerlukan bantuan serta bimbingan daripada kerajaan supaya dapat meningkatkan standard perniagaan koperasi mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Rekod interim SKM sehingga tahun lalu merekodkan pendaftaran koperasi di Sabah sebanyak 1,661 buah. Kebanyakan daripada koperasi tersebut menjual hasil keluaran anggotanya seperti produk kraf, hasilan pertanian dan makanan berkualiti tinggi.

Beliau juga turut menyatakan penghargaan kepada ANGKASA yang mengundang Pengarah Serantau ICA-AP, Mr. Balu Iyer ke Sabah bagi meninjau potensi negeri tersebut sebagai tuan rumah untuk Asia Pacific Cooperative Youth Summit 4.0.

Datuk Ewon berkata demikian sewaktu berucap dalam perasmian Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) 2023 pada 18 Februari 2023 di Panampang Sabah.

Program anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah dengan kerjasama KUSKOP, SKM dan ANGKASA itu turut dihadiri oleh wakil ANGKASA iaitu Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Pengerusi ANGKASA Negeri Sabah, Dr. Zhamriee Gulam Rasul, Setiausaha Eksekutif ANGKASA, Encik Hasnan Haji Mustapha dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.

MASKOP merupakan salah satu inisiatif yang digariskan dalam Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM) 2021-2025. Matlamat utama program tersebut adalah untuk memupuk sangat berkoperasi di samping meningkatkan pengetahuan orang ramai berkaitan koperasi. Program itu juga adalah sebagai salah satu platform kerajaan untuk menghebahkan perkhidmatan dan produk koperasi secara terus kepada masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *