NGO Pulangkan Duit Rakyat gesa SPRM supaya adil siasat skandal berbilion ringgit
KUALA LUMPUR, 4 MAC 2024 – NGO ‘Gerakan Pulangkan Duit Rakyat’ mohon SPRM melakukan siasatan yang telus bagi menjawab segala persoalan atas dakwaan skandal kewangan melibatkan Tun Daim Zainuddin yang tidak mengisytiharkan 70 aset harta yang mencecah kira-kira RM50 bilion.
Antara aset terbabit melibatkan satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, 38 syarikat dan 25 hartanah serta tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Kedah.
Beliau didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, 28 Januari lalu.
Jurucakap NGO ‘Pulangkan Duit Rakyat, Ariffin Abu Bakar berkata, rakyat juga mempunyai hak untuk mengetahui hal yang sebenar jika dakwaan yang disabitkan itu berkait dengan duit rakyat.
“Sekiranya betul mereka terlibat dengan skandal (kewangan), kita minta untuk pulangkan duit rakyat agar kami tidak tertanggung dengan harga yang tinggi dan ringgit makin jatuh,” katanya.
Tun Daim pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan di zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dari 1984 hingga 1991.
Selain itu, desas desus mengenai keterlibatan Tun Dr Mahathir dalam skandal kewangan ini turut menjadi tanda tanya dan beliau harus tampil memberi jawapan kepada rakyat.
Menurut Ariffin, masyarakat umum mengetahui perkembangan semasa kes Tun Daim dan pihaknya tidak berhasrat sama sekali untuk mencampuri urusan dan siasatan SPRM serta proses pendakwaan di mahkamah.
“Kami tiada hasrat untuk campur mana-mana urusan pihak berkuasa, tapi kami rakyat di bawah terasa yang kami hadap ini.
“Kami sendiri tak berapa percaya dengan orang politik, kami sebagai NGO bangkit untuk tahu apa yang sedang berlaku.
“Kalau mengharapkan orang politik, mungkin ada tangan ghaib, kami tak mahu berlaku perkara itu,” ujarnya pada sidang media yang berlangsung di luar perkarangan Menara Ilham, di sini, hari ini.