PERKESO bangunkan instrumen bantu golongan hilang upaya kembali bekerja dengan segera
TANJUNG MALIM, PERAK – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan
kerjasama dan sokongan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah membangunkan instrumen Return To Work (RTW) Readiness Scale bagi membantu menyegerakan proses golongan pekerja yang mengalami hilang upaya akibat kemalangan atau penyakit kembali ke alam pekerjaan, hari ini.
Penghasilan instrumen penilaian yang dibuat menerusi kaedah penyelidikan ini membolehkan kesediaan untuk kembali bekerja dalam kalangan individu yang
mengalami hilang upaya di bawah Program Return To Work (RTW) PERKESO dikenal
pasti dengan lebih awal dan tepat.
Ia sekaligus membantu pengurus dan pembantu pengurus kes untuk merangka pelan rehabilitasi dan program intervensi yang
bersesuaian ke atas peserta RTW agar mereka dapat kembali bekerja lebih awal, sihat
dan selamat.
Penilaian kesediaan individu untuk kembali bekerja adalah sangat penting memandangkan ia adalah salah satu daripada elemen utama dalam pengurusan hilang upaya ke atas Orang Berinsurans (OB) PERKESO yang ditimpa kecederaan atau penyakit.
Instrumen ini telah dibangunkan menerusi kerjasama penyelidikan bersama pensyarah UPSI dan Pengurus Kes PERKESO, susulan kerjasama yang telah dimeterai antara kedua-dua pihak menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) sejak 9 Mac 2021.
Instrumen ini akan digunakan sebagai alat penilaian tambahan dalam pengurusan kes
Program RTW, di samping instrumen sedia ada bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengurusan hilang upaya PERKESO.
Kerjasama penyelidikan ini mencerminkan komitmen PERKESO dalam menambah baik
perkhidmatan pengurusan hilang upayanya khususnya kepada para OB melalui
penerokaan lebih banyak peluang kerjasama dengan pihak luar.
Sehingga 16 September 2022, seramai 49,851 peserta RTW telah berjaya dibantu dengan pelbagai program pemulihan komprehesif untuk kembali ke alam pekerjaan dalam keadaan sihat dan selamat.
Majlis Pelancaran Return To Work (RTW) Readiness Scale telah disempurnakan oleh
Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO.
Turut hadir bersama ialah Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor UPSI serta
delegasi daripada PERKESO dan UPSI dalam satu majlis yang berlangsung di Fakulti
Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Pada majlis yang sama, turut disampaikan Anugerah Khas Ketua Eksekutif PERKESO
kepada pihak UPSI yang mencerminkan komitmen dan kerjasama erat kedua-dua belah
pihak untuk memperluas elemen pengurusan hilang upaya dalam kalangan pelajar dan
kakitangan universiti berkenaan.
PERKESO menyeru kepada para ahli akademik, majikan dan golongan profesional untuk
turut menggunakan instrumen ini bagi tujuan kajian lanjut dalam aspek pengurusan hilang
upaya di Malaysia agar bersama ia dapat diperkasa dan ditambahbaik dari semasa ke
semasa.