PRIHATIN Giat Perkasakan Agenda Pendidikan Negara, sasar bantu 50,000 pelajar lepasan SPM ke menara gading

  • August 29, 2022
  • 3 min read
PRIHATIN Giat Perkasakan Agenda Pendidikan Negara, sasar bantu 50,000 pelajar lepasan SPM ke menara gading

SABAK BERNAM, 29 Ogos 2022 – Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) peringkat parlimen Sabak Bernam telah disempurnakan oleh YB Tan Sri Noh Bin Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi di Dataran Usahawan Sabak Bernam, Selangor hari ini.

Turut diadakan pemberian Bantuan Tunai Pendidikan kepada pelajar-pelajar dari keluarga kurang berkemampuan dan penyerahan surat tawaran kemasukan belajar kepada pelajar yang layak terdiri daripada anak Sabak Bernam.

Ketika ditemui di Majlis Perasmian Karnival Usahawan, Koperasi Dan Pendidikan Parlimen Sabak Bernam Tahun 2022 itu, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, YB Tan Sri Noh Bin Haji Omar turut menyentuh mengenai kepentingan tahap kesedaran orang ramai dalam bidang pendidikan.

“Kesedaran orang ramai tentang pentingnya bidang pendidikan perlu dipertingkatkan dengan lebih drastik supaya kita dapat mencapai tahap yang disasarkan. Sehubungan itu, anjakan paradigma mesti dilakukan bagi meningkatkan persepsi positif dengan sokongan ibubapa untuk mendedahkan anak-anak lebih celik tentang potensi laluan pendidikan melalui Program Jelajah ini”.

Dalam pada itu, beliau berharap agar lebih banyak peluang dan ruang akan diperolehi bagi pelajar di luar bandar dan pedalaman terutama dari golongan B40 dan kurang berkemampuan bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi melalui inisiatif yang ditawarkan melalui program ini.

Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) melalui Sekretariat JPKM akan menjelajah ke seluruh negara bagi Mencari, Mengenal dan Membantu sasaran seramai 50,000 pelajar lepasan SPM tahun 2016-2021 yang merupakan anak-anak Keluarga Malaysia yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan dari segi kewangan diseluruh negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali, bantuan khas pendidikan kepada golongan yang memerlukan merupakan antara agenda pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat. Hal ini bagi memastikan semua anak jati Sabak Bernam mempunyai akses pembelajaran dan hak bagi mendapatkan pendidikan terjamin. Bantuan dan peluang seumpama ini harus diberikan kerana mereka merupakan aset yang meneruskan masa depan negara.

Mengulas mengenai JPKM yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri ini, PRIHATIN melihat bahawa program ini akan memberikan manfaat kepada anak-anak keluarga Malaysia dalam mendapatkan tempat di Institusi Pengajian Tinggi terpilih supaya dapat mengubah corak kehidupan yang lebih cemerlang di masa hadapan.

“Harapan saya bersempena dengan bulan kemerdekaan ini marilah kita bersama-sama pastikan agar pendidikan di Malaysia tidak lagi berada di takuk lama. Walau apa pun bidang kerjaya yang anak-anak kita ingin ceburi, waima petani mahupun nelayan, kita kena pastikan anak-anak kita ceburi bidang kerjaya tersebut bersama segulung ijazah dalam genggaman,” ujar beliau.

Turut hadir sama YB Datuk Rizam Ismail (ADUN Sungai Air Tawar Merangkap Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan), Datuk Dr. Haji Abd Rahman bin Bakri (Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parmen (MPUKP) Sabak Bernam), Datuk Seri Dr. Haji Abdul Fattah bin Abdullah (Presiden ANGKASA Malaysia), Dato’ Haji Mohd Alias bin Hamzah (Pengarah ANGKASA Negeri Selangor) dan Encik Rozdeen bin Mohd Jaafar (Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Selangor).

Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia 2022 (JPKM) merupakan inisiatif & projek khas YAB Perdana Menteri dalam membuka peluang kepada akses pendidikan tinggi negara kepada seluruh masyarakat terutama penduduk di kawasan pedalaman ataupun luar bandar.

Sebanyak 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Institusi Kemahiran Tinggi dan rakan strategik lain mengikuti JPKM 2022 pada kali ini termasuk GIATMARA, Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Profesional Mara (KPM), German-Malaysian Institute (GM), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Universiti Antarabangsa UNITAR. Manakala, antara Universiti Awam yang turut serta adalah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan lain-lain. -UTVMediaMsia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *