Tidak teragak-agak adakan perhimpunan selepas raya – Ariffin
KUALA LUMPUR – Badan Bukan Kerajaan Gerakan Pulangkan Duit Rakyat tidak teragak-agak untuk menganjurkan himpunan aman di jalanan sekiranya mana-mana pihak cuba memperlekeh siasatan pihak berkuasa khususnya dalam isu rasuah dan salah guna kuasa.
Jurucakapnya berkata, kami tidak akan berdiam diri sekiranya ada mana-mana pihak cuba mempersoalkan tindakan SPRM mendakwa mana-mana individu mahupun pemimpin politik yang terlibat dengan salah laku rasuah dan salah guna kuasa.
“Kami tidak teragak-agak untuk mengimpunkan lebih ramai pemimpin dan ribuan ahli Gabungan NGO selepas Hari Raya Aidilfitri sekiranya SPRM dan PDRM tidak dihormati dan dicabar di mahkamah kerana dirinya dianiaya dan menjadi mangsa pendakwaan terpilih.
“Kami juga sedia membantu Yang di-Pertuan Agong untuk memburu semua pihak yang korup, salah guna kuasa dan terlibat dengan rasuah, baik pentadbiran sekarang mahupun sepanjang era pentadbiran 22 tahun 22 bulan lalu,” katanya lagi.
Gerakan Pulangkan Duit Rakyat juga menafikan dakwaan kononnya badan bukan kerajaan (NGO) itu menganjurkan perhimpunan aman di Menara Ilham, Jalan Binjai, di sini pada 9 Mac lalu.
Menurut Ariffin, walaupun pada hari kejadian kehadiran mencecah hampir 1,000 ahli NGO, namun ia dibuat atas kapasiti sidang media sahaja.
“Kami sedia memberi kerjasama kepada pihak polis yang memanggil kami hari ini untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan menganjurkan perhimpunan aman di hadapan Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.
“Walaupun sidang media itu melibatkan penyertaan hampir 1,000 ahli Gabungan NGO, namun ia bukan satu perhimpunan mahupun perarakan di jalanan dalam khalayak umum secara terbuka.
“Ia hanyalah satu sidang media secara besar-besaran serta tidak berniat untuk menimbulkan kacau ganggu dan menjejaskan ketenteraman awam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu Ariffin bersama peguamnya, Faris Patria hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan beliau menganjurkan perhimpunan aman di luar pekarangan Menara Ilham, di sini, 9 Mac lalu.
Ariffin juga mengulangi sokongannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa seorang bekas Menteri Kewangan di mahkamah kerana gagal mengisytiharkan aset-aset miliknya.
“Kami sentiasa menyokong usaha SPRM untuk mengembalikan wang rakyat berbilion ringgit yang hilang akibat pelbagai skandal kewangan berpuluh tahun lamanya di Malaysia,” katanya.