YM Dato’ Sri Siti Nur Atiqah Tegas: “Saya Tidak Terlibat Dalam Isu Penipuan Pakej Haji Percuma”

  • June 8, 2025
  • 4 min read
YM Dato’ Sri Siti Nur Atiqah Tegas: “Saya Tidak Terlibat Dalam Isu Penipuan Pakej Haji Percuma”

Penjelasan Terbuka Berhubung Insiden 82 Jemaah Terkandas di KLIA

Sidang media tergempar penjelasan dari YM Dato’ Seri Paduka Diraja Dato’ Sri Siti Nur Atiqah binti Dato’ Seri Baba tampil memberi penjelasan berani mengenai isu yang tular Viral– 82 jemaah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat masalah visa haji Mujamalah.

Dengan nada tegas, beliau menafikan sebarang penglibatan syarikat miliknya, MRF, dalam insiden yang dikaitkan dengan penipuan pakej haji percuma.


“Jangan Percaya Fitnah Media Sosial”

Menurut beliau “Saya ingin tegaskan, semua dakwaan yang berlegar di media sosial adalah tidak berasas,” ujar Dato’ Sri Siti di awal sidang media tersebut. Beliau turut merujuk kenyataan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyangkal tuduhan tersebut dan mengesahkan siasatan masih berlangsung.


Kronologi Daripada Perspektif Dato’ Sri Siti

Dato’ Sri Siti menjelaskan bahawa beliau hanya menjalinkan kerjasama dengan seorang individu yang terlibat dalam urusan amal. Kedua-duanya hadir ke KLIA atas dasar menerima surat tawaran dan tiket penerbangan yang sah daripada pihak yang dikenali sebagai agensi Albalad.

“Kami diberitahu kami ditaja sepenuhnya untuk menunaikan haji. Surat tawaran itu datang dari Albalad sendiri. Tapi kenapa mereka tidak mengaku sekarang?” soalnya penuh tanda tanya.

Menurut beliau, wakil agensi tersebut juga memberi jaminan bahawa ketibaan mereka di Jeddah akan disambut, namun di saat akhir mereka diminta menunggu kerana visa Mujamalah belum dikeluarkan. Malangnya, sebahagian jemaah tidak sempat berlepas.

“Saya sendiri adalah antara yang ditaja, malah ahli keluarga saya juga. Tak mungkin saya mahu menzalimi diri dan keluarga saya sendiri,” katanya dalam nada kesal.


Salah seorang jemaah tampil memberikan perspektif berbeza: “Istilah ‘percuma’ itu sebenarnya mengelirukan. Kami memang tidak bayar satu sen pun, tapi kami cuma uruskan dokumen. Visa dan penerbangan semuanya diurus penaja.”

Beliau turut menjelaskan bahawa agensi Albalad hanya menguruskan logistik, dan jemaah tidak dibenarkan berhubung terus dengan agensi tersebut, sebaliknya hanya melalui penaja.

“Saya sendiri serahkan pasport kepada penaja secara sukarela. Tiada paksaan, tiada kekecohan pun malam tu. Hanya segelintir yang mencetuskan panik,” tambahnya.

Difahamkan, hanya tujuh individu yang menimbulkan kekecohan, manakala selebihnya kekal tenang dan masih berharap mereka dapat menunaikan ibadah haji seperti dijanjikan.


Disoal Siasat, Tapi Tetap Tenang

Dato’ Sri Siti menceritakan beliau disoal siasat selama lebih 12 jam oleh pihak polis di KLIA dan Balai Polis Dang Wangi.

“Saya tak marah, saya cuma penat. Tapi saya reda dan tak takut sebab saya tahu saya tak bersalah,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa terkilan dengan kenyataan media yang dibuat oleh penyanyi Amir Ukays yang didakwanya telah menyebabkan salah faham besar dalam kalangan masyarakat.

“Kenyataan beliau seolah-olah menggambarkan saya menipu. Tapi hakikatnya, saya juga menunggu di KLIA, sama seperti jemaah lain.”


Tiada Kaitan Dengan MRF, Hanya Mahu Membantu

Beliau sekali lagi menegaskan, syarikat miliknya, MRF, tidak ada sebarang kaitan dalam pengurusan jemaah ini.

“Saya hanya membantu atas dasar amal dan ihsan, bukan untuk sebarang keuntungan. Semua kos ditanggung oleh pihak penaja,” katanya.


Kebenaran Belum Tersingkap Sepenuhnya

Pihak polis masih meneruskan siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh individu tertentu, termasuk penyanyi terlibat.

“Saya sedia beri kerjasama sepenuhnya. Kalau betul saya bersalah, kenapa ada jemaah yang sudah pun sampai ke Tanah Suci?” soal beliau lagi.

Dato’ Sri Siti menekankan pentingnya untuk masyarakat dan media melihat isu ini secara menyeluruh, bukan sekadar bergantung pada video tular atau kenyataan sepihak.


Pengajaran Buat Semua Pihak

Dalam dunia digital yang serba pantas ini, terlalu mudah untuk seseorang dijatuhkan hanya berdasarkan satu sudut cerita.

Dato’ Sri Siti tampil tenang, konsisten dan bersedia bersumpah jika perlu, demi membersihkan nama baiknya. Beliau juga menggesa pihak media agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan laporan, khususnya yang melibatkan reputasi dan maruah seseorang.

Buat para jemaah pula, penting untuk lebih berwaspada dengan tawaran sebegini walaupun ianya kelihatan sebagai satu rezeki. Niat baik tidak sepatutnya menjadi medan fitnah dan penganiayaan.


Penutup: Isu Masih Belum Selesai

Kes ini masih belum menemui noktah. Namun satu perkara jelas: masih banyak persoalan belum dijawab – terutamanya daripada pihak agensi Albalad dan individu penaja.

Semoga kebenaran akhirnya terzahir, dan semua yang terlibat, khususnya jemaah yang terkandas, memperoleh keadilan yang sewajarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *