‘Family Day HARMONI’ Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia Rai Keharmonian Keluarga di Janda Baik

JANDA BAIK, 6 November 2025 – Dengan semangat kekeluargaan dan ukhuwah Islamiah yang mendalam, Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (PPHM) menganjurkan Family Day tahunannya di Janda Baik dengan tema “Rewang Bersama Harmoni”, yang berjaya menghimpunkan lebih 150 peserta dari seluruh negara.



Presiden PPHM, Abdul Alim Hafiz Bin Bahru, yang baru dilantik bagi sesi 2025, menyatakan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diterima pada program kali ini.
“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan. Sasaran hanya 100 peserta, tetapi kehadiran melebihi 150 orang termasuk anak-anak kecil yang menjadikan suasana amat meriah,” katanya ketika ditemui semasa program.
Menariknya sehari suntuk itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti santai seperti mandi sungai, tangkap ikan, bermain bola, serta sesi rewang memasak bersama, selain turut diserikan dengan qiamullail dan bacaan Al-Mathurat pada waktu pagi dan petang.



Menurut Abdul Alim, objektif utama ‘Family Day’ bukan sekadar memperkenalkan pertubuhan, tetapi sebagai wadah memperkukuh institusi kekeluargaan dan menyatukan ahli-ahli yang datang daripada pelbagai latar belakang.
“Kami bukan mempromosikan poligami tetapi ingin semua menjadi pasangan yang baik samaada poligami atau monogami. Tujuan kami adalah mendidik, memberi sokongan, dan membina ‘circle’ yang baik supaya kekuatan keluarga Muslim menjadi lebih harmoni dan kembali kepada petunjuk Allah dan Rasul. Ramai ahli datang bukan kerana mereka berpoligami, tetapi kerana ingin belajar dan memahami tanggungjawab kekeluargaan,” jelasnya.



Menariknya, peserta bukan hanya datang dari dalam negara, malah turut disertai individu dari Singapura dan Pakistan yang berminat mendalami ilmu kekeluargaan dan poligami Islam.
“Ada peserta dari Pakistan yang merupakan usahawan dan penyumbang air minuman untuk program kali ini. Mereka datang bukan sekadar ingin berkongsi rezeki, tetapi juga menimba pengalaman dan ilmu,” tambah beliau lagi.


Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia turut dikenali sebagai ejen zakat yang dilantik oleh Zakat Selangor, bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat melalui saluran yang sah dan telus.
Selain itu, PPHM aktif menjalankan program usrah mingguan yang dibahagikan kepada kumpulan lelaki dan wanita secara tertutup, bagi memberi ruang kepada ahli membincangkan isu keluarga, kerjaya dan kehidupan harian dengan lebih terbuka.
“Kami ada ahli daripada pelbagai profesion — doktor, peguam, pensyarah, dan ramai lagi. Semua bergabung atas dasar dakwah dan kasih sayang kerana Allah. Kami bergerak atas inisiatif sendiri, tanpa penajaan besar. Semuanya dilakukan dengan semangat kekeluargaan,” ujar Abdul Alim.
Beliau turut mengulas persepsi negatif masyarakat terhadap poligami yang sering disalah tafsir.



“Biasanya masyarakat melihat isu poligami dengan emosi. Padahal, ia sebahagian daripada syariat Islam yang indah jika dilaksanakan dengan hikmah dan ilmu. Kami bukan menggalakkan orang berpoligami tanpa tanggungjawab, tetapi mendidik supaya mereka faham dan bersikap adil,” tegasnya.
Tambahnya, program seperti Family Day menjadi platform terbaik untuk berkongsi pengalaman secara santai antara keluarga berpoligami dan mereka yang belum, bagi menghapuskan stigma dan membuka ruang kefahaman.
“Ada isteri pertama yang dahulu menentang, tetapi selepas berkenalan dengan isteri pertama lain yang positif, mereka mula faham dan tenang. Inilah yang kami harapkan – perubahan dengan kasih, bukan paksaan,” katanya mengakhiri temubual dengan senyuman.
Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi mereka ‘Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia’, di mana masyarakat juga boleh mendaftar sebagai ahli, mengikuti aktiviti dakwah, atau menyalurkan zakat melalui platform yang sah.








