KUALA LUMPUR, 29 Januari 2026 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) memeterai kerjasama strategik bagi memperkukuh usaha membanteras amalan kartel serta pakatan tipuan bida dalam perolehan kerajaan.

Kerjasama tersebut dimuktamadkan menerusi pemeteraian Surat Persefahaman (LoU) antara MyCC, sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan JWP yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.
LoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah JWP, YBhg. Datuk Seri Noridah binti Abdul Rahim dan Pengerusi MyCC, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Idris bin Harun, serta disaksikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Melalui kerjasama ini, kedua-dua agensi akan memberi tumpuan kepada beberapa skop utama termasuk penyediaan khidmat nasihat dan laporan penilaian awal berkaitan unsur tipuan bida dalam perolehan, pelaksanaan latihan berkala kepada pegawai perolehan, serta pemberian pandangan mengenai isu persaingan dan risiko dalam proses perolehan kerajaan.
JWP turut menegaskan komitmen untuk menyalurkan maklumat serta melaporkan kepada MyCC sekiranya terdapat sebarang petunjuk atau perlakuan yang menjurus kepada amalan antipersaingan dalam perolehan awam.
LoU ini melibatkan semua agensi di bawah seliaan JWP, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP), Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) serta Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).
Pemeteraian LoU tersebut merupakan kesinambungan kepada usaha berterusan Kerajaan dalam meningkatkan ketelusan perolehan awam, membanteras kewujudan kartel dan mengekang amalan tipuan bida yang boleh menjejaskan kecekapan perbelanjaan negara.
Kerjasama ini juga mencerminkan pendekatan whole-of-government dalam memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan persaingan, sejajar agenda yang digariskan oleh KPDN dan MyCC bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap, berintegriti dan bebas ketirisan.



