CYBERJAYA, 3 Mac 2026 – Kerajaan MADANI terus memperkukuh usaha memerangi jenayah kewangan dalam talian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini merasmikan pengukuhan operasi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (National Scam Response Centre – NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya.
NSRC kini berfungsi sepenuhnya sebagai pusat respons nasional yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi menangani kes penipuan dalam talian dengan lebih pantas dan berkesan.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, serta Menteri Digital Gobind Singh Deo.
NSRC yang mula beroperasi pada 7 Oktober 2022 diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama beberapa agensi utama termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), MCMC dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Sepanjang tahun 2025, NSRC mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila mengendalikan 146,167 panggilan aduan berkaitan penipuan serta membekukan 138,915 akaun bank yang disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket penipuan.
Melalui tindakan pantas pusat tersebut, sebanyak RM34.05 juta berjaya diselamatkan daripada jatuh ke tangan penjenayah.
Selain itu, jumlah pemulangan dana kepada mangsa melalui proses earmarking turut meningkat dengan ketara daripada RM508,479 pada tahun 2024 kepada RM6.65 juta pada tahun 2025.
Momentum kejayaan ini berterusan apabila sehingga Januari 2026, sebanyak RM1.44 juta lagi berjaya disita melalui tindakan pembekuan awal akaun terlibat.
Kerajaan MADANI menegaskan komitmennya untuk terus menggunakan pendekatan “whole-of-government” bagi memastikan keselamatan kewangan rakyat sentiasa terpelihara serta ekosistem digital negara kekal selamat daripada ancaman jenayah siber.



