Petaling Jaya, 9 Mac 2026 – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan PJ Eko Rebat (PJeR), platform digital pertama seumpamanya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia bagi memudahkan permohonan rebat cukai taksiran untuk pemilik rumah mesra alam.

Pelancaran sistem tersebut disempurnakan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Dr. Hj. Mohamad Zahri bin Hj. Saming, di Ibu Pejabat MBPJ.
Menurut MBPJ, sistem baharu itu membolehkan penduduk mengemukakan permohonan, memuat naik dokumen dan menyemak status permohonan secara dalam talian, sekali gus menjadikan proses lebih pantas dan efisien.
Bagi tahun 2025, sebanyak 243 permohonan telah diluluskan melibatkan nilai rebat RM81,075.28 yang akan dikreditkan pada penggal kedua tahun 2026.
Secara keseluruhan, sejak skim rebat cukai taksiran bagi pemilik rumah mesra alam diperkenalkan pada 2011 hingga 2025, MBPJ telah menerima 2,861 permohonan dengan 2,556 daripadanya diluluskan, melibatkan jumlah rebat melebihi RM1 juta.
Dalam pada itu, MBPJ turut memperuntukkan RM500,000 bagi Program Geran Komuniti Petaling Jaya Mampan (PJ SEED) 2026 bagi memperkasakan penglibatan komuniti dalam projek inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.
Sejak diperkenalkan pada 2019, sebanyak 180 projek komuniti telah diluluskan dengan jumlah peruntukan keseluruhan hampir RM3.2 juta.
Selain itu, MBPJ juga menekankan usaha pendidikan kelestarian melalui Program Kitar Semula Sekolah yang melibatkan 30 sekolah dari tahun 2022 hingga 2024 dengan jumlah bahan kitar semula yang dikumpul mencecah 126,707 kilogram.
Majlis sama turut menyaksikan pelantikan 13 Duta PJ Bersih bagi sesi 2026–2027 yang akan membantu memantau kebersihan bandar serta mendidik masyarakat mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.
MBPJ berharap inisiatif tersebut dapat memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan warga Petaling Jaya dan menyokong usaha menjadikan bandar itu lebih hijau, mampan dan sejahtera.



