AMPANG, Selangor – Majlis Iftar Karyawan yang dianjurkan oleh Karyawan Malaysia menghimpunkan penggiat seni tanah air dalam suasana mesra dan penuh kekeluargaan sempena bulan Ramadan.


Majlis yang diadakan atas undangan Presiden Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez itu turut dihadiri artis lama dan baharu termasuk penyanyi serta pelakon yang pernah menceriakan industri seni tempatan.
Sebahagian daripada mereka masih aktif dalam bidang seni, manakala ada yang tidak lagi terlibat berikutan faktor kesihatan dan usia.
Pada majlis tersebut, sumbangan turut disampaikan kepada beberapa artis sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada industri seni negara, selain membantu meringankan beban kos sara hidup dan rawatan kesihatan.
Program kebajikan seperti ini diharap dapat terus memberi sokongan kepada para penggiat seni yang banyak menyumbang kepada perkembangan dunia hiburan tanah air.


