JOM Pejuang Kecam Intimidasi Mahasiswa di UM, Tegas Pertahan Kebebasan Bersuara

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Orang Muda (JOM Pejuang) tampil mengecam sekeras-kerasnya dakwaan tindakan intimidasi terhadap aktivis dan persatuan mahasiswa di Universiti Malaya, sambil menegaskan bahawa kampus harus kekal sebagai ruang bebas untuk perbincangan intelektual tanpa tekanan.


Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, universiti sepatutnya menjadi medan terbuka bagi mahasiswa menyuarakan pandangan, berpersatuan serta terlibat dalam aktiviti akademik tanpa rasa takut atau ancaman.
JOM Pejuang menegaskan bahawa mahasiswa bukan sekadar pelajar, sebaliknya merupakan tonggak masa depan negara.

Sebarang bentuk tekanan atau usaha menyekat kebebasan mereka bukan sahaja mencemarkan budaya intelektual kampus, malah boleh menjejaskan potensi generasi muda sebagai pemimpin dan agen perubahan.


“Sejarah membuktikan mahasiswa memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak rakyat serta menyumbang kepada kematangan demokrasi negara. Tindakan membungkam suara mereka hanya akan melemahkan institusi pendidikan tinggi itu sendiri,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, JOM Pejuang menggesa pihak pentadbiran Universiti Malaya agar segera memberi penjelasan terhadap dakwaan berkenaan serta memastikan hak mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan terus dilindungi tanpa sebarang ugutan.


Selain itu, organisasi berkenaan turut menggesa agar dialog terbuka diadakan secara berkala antara pentadbiran universiti dan wakil mahasiswa bagi memastikan keharmonian serta budaya intelektual terus terpelihara.
Dalam masa sama, JOM Pejuang menegaskan bahawa mahasiswa bukan musuh universiti, sebaliknya rakan penting dalam membina budaya ilmu, keberanian berfikir dan masa depan negara.
“Kampus yang sunyi daripada suara mahasiswa bukan tanda keharmonian, tetapi petanda kebebasan intelektual sedang terhakis,” menurut kenyataan itu lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *