KUALA LUMPUR – Dakwaan ketirisan dana di bawah program Sejati MADANI mencetuskan kebimbangan apabila Nabil Halimi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera, telus dan menyeluruh tanpa sebarang penangguhan.
Menurut beliau, program Sejati MADANI merupakan inisiatif penting kerajaan dalam memperkukuh ekonomi komuniti, khususnya di kawasan desa dan perumahan strata melalui pelbagai aktiviti seperti pertanian, pelancongan, jahitan, kraftangan serta projek berasaskan ekonomi hijau.
“Sehingga tahun 2025, lebih 3,062 komuniti dengan 3,182 aktiviti ekonomi telah menerima manfaat daripada peruntukan program ini. Ia jelas menunjukkan peranan besar Sejati MADANI dalam membangunkan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa dana berjumlah RM100,000 yang disalurkan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) bukan milik individu atau ketua kampung, sebaliknya amanah rakyat yang perlu diurus dengan penuh integriti bagi memastikan pembangunan ekonomi setempat dapat direalisasikan.
Mengulas lanjut, Nabil berkata sekiranya benar wujud pihak yang bertindak sebagai orang tengah untuk mengaut sebahagian besar dana projek, tindakan tersebut disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap rakyat.
“Mereka yang mengambil kesempatan ini bukan sahaja menyeleweng dana, malah merompak hak masyarakat yang sepatutnya menerima manfaat. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang tamak dan mengkhianati amanah ini,” tegasnya.
Beliau turut menyifatkan golongan terlibat sebagai perosak kepada usaha membina kekuatan ekonomi rakyat dan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap inisiatif kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa negara harus dibangunkan oleh individu yang berintegriti dan bertanggungjawab, bukannya oleh pihak yang rakus dan menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.



