Kenyataan MCW: Tiga Individu Pamer Sepanduk Cemuhan Ketika Ucaptama Azam Baki, Kepimpinan SPRM Dipuji Kekal Profesional


PUTRAJAYA, 7 April – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengesahkan kejadian di mana tiga individu bertindak bangun dan mempamerkan sepanduk mengandungi mesej cemuhan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, ketika beliau menyampaikan ucaptama dalam Wacana Ilmiah Perdana, sebentar tadi.

Dalam kenyataan media hari ini, Presiden MCW, Jais Abdul Karim memaklumkan bahawa tiga orang kepimpinan MCW, termasuk beliau sendiri, kebetulan tiba ketika majlis telah bermula dan mengambil tempat di bahagian belakang dewan.

“Ketika ucapan baru dimulakan, dua orang individu telah bertindak bangun dan mempamerkan sepanduk yang mengandungi mesej cemuhan terhadap Tan Sri Azam, sambil dirakam oleh seorang lagi individu,” kata beliau.

MCW merakamkan penghargaan terhadap ketenangan dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh Tan Sri Azam Baki dalam mengendalikan situasi tersebut. Menurut MCW, beliau kekal fokus, tidak terprovokasi dan meneruskan ucapan hingga selesai dengan penuh wibawa, yang kemudiannya disambut dengan tepukan gemuruh oleh para hadirin.

Tegas MCW, pihaknya memberikan sokongan penuh terhadap kepimpinan dan keteguhan Tan Sri Azam dalam melaksanakan amanah memerangi rasuah, termasuk berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tekanan terbuka seperti ini.

“Dalam sebuah negara demokrasi, ruang untuk menyuarakan pandangan adalah diiktiraf, namun ia mestilah dilakukan dengan tertib, beretika dan tidak menjejaskan keharmonian majlis ilmiah,” ujar Jais.

Sehubungan itu, MCW menasihatkan mana-mana pihak yang mempunyai ketidakpuasan hati agar bersabar dan memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang berjalan, yang dijangka mencapai penyelesaian dalam masa terdekat. Segala bentuk tuduhan atau persepsi wajar ditangani melalui saluran yang sah dan berlandaskan fakta.

MCW turut menegaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) mesti sentiasa dihormati, dan tiada mana-mana individu boleh dijatuhkan hukuman melalui tekanan awam atau persepsi semata-mata tanpa proses perundangan yang adil dan telus.

“Malaysia memerlukan keberanian, kestabilan dan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan untuk memastikan agenda pembanterasan rasuah dapat diteruskan tanpa gangguan yang tidak berasas,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *