KUALA LUMPUR, 17 April 2026 – Waris kepada penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Linkedua, Iskandar Puteri ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura layak menerima beberapa faedah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, hasil semakan mendapati balu dan anak mangsa berusia setahun dua bulan layak menerima Pencen Penakat bulanan sebanyak RM2,556.67, mengikut syer masing-masing, yang akan mula dibayar dalam masa terdekat.
Menurut beliau, balu mangsa yang kini masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru turut layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 secara sekali bayar.
“Mendiang sebelum ini bekerja di Malaysia sebelum memulakan pekerjaan baharu di Singapura dalam tempoh kurang sebulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, berdasarkan rekod caruman melalui majikan terdahulu, mangsa mempunyai kelayakan penuh di bawah Skim Keilatan, sekali gus membolehkan waris menerima Pencen Penakat di bawah inisiatif LINDUNG Pekerja.
Pencen bulanan tersebut akan dibayar seumur hidup kepada balu, manakala anak mangsa layak menerima faedah sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian di peringkat ijazah pertama.
Saravanan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar balu mangsa yang kini dirawat akibat kecederaan parah segera pulih.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa insiden kemalangan maut melibatkan pekerja rentas sempadan, khususnya antara Johor dan Singapura, semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak.
“Ramai rakyat tempatan yang bekerja di Singapura tidak mempunyai perlindungan keselamatan sosial yang menyeluruh,” katanya.
Menurut statistik Singapore Accident Help Centre (SAHC) bagi tahun 2025, dianggarkan seorang rakyat Malaysia maut setiap minggu akibat kemalangan ketika berulang-alik antara Malaysia dan Singapura.
Lebih membimbangkan, sebanyak 54 kes kemalangan maut yang direkodkan tahun lalu berada dalam kategori ‘zon kelabu’, iaitu tidak dilindungi sepenuhnya oleh sistem keselamatan sosial di kedua-dua negara.
Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO bercadang memperluaskan skim LINDUNG Kendiri kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura melalui pelaksanaan Skim Pengembara.
Inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.6 juta rakyat Malaysia di Singapura, termasuk hampir 480,000 pekerja rentas sempadan harian.
“Perlindungan ini bukan sahaja meliputi kemalangan semasa bekerja di Singapura, malah turut merangkumi kemalangan perjalanan pergi dan balik kerja serta insiden di laluan rentas sempadan,” jelas beliau.
Tambahnya, pelaksanaan Skim Pengembara perlu disegerakan sebagai sebahagian daripada reformasi perlindungan sosial negara dan kini dalam peringkat semakan oleh Jabatan Peguam Negara.



