PUTRAJAYA, 16 April 2026 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap dua penerbitan yang dikenakan larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dibuat berdasarkan penilaian semasa serta kepentingan keselamatan awam.
Menurut kenyataan media KDN, dua penerbitan yang terlibat ialah “Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10” dan “Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah”, yang didapati mengandungi elemen yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.
KDN menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tidak bergantung kepada tarikh sesuatu bahan diterbitkan, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan penilaian terkini terhadap kandungan serta implikasinya kepada keselamatan negara.
“Setiap tindakan diambil secara sah, teliti dan berasaskan peruntukan undang-undang serta kepakaran berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Penilaian kandungan dibuat berlandaskan Seksyen 7 Akta 301, khususnya terhadap unsur yang berpotensi menjejaskan keselamatan awam. Hasil pemantauan mendapati terdapat bahan penerbitan yang mengandungi unsur dan ideologi komunisme yang kini semakin terbuka penyebarannya di pasaran.
KDN turut memaklumkan bahawa perkembangan semasa menunjukkan kecenderungan untuk menormalisasi serta mengagung-agungkan fahaman tersebut, yang jelas bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara.
Dalam masa sama, kementerian menolak dakwaan bahawa tindakan penguatkuasaan ini bertujuan menyekat kebebasan intelektual atau wacana ilmiah. Sebaliknya, ia disifatkan sebagai langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
KDN menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha menyebar, mempromosi atau menghidupkan semula ideologi yang bertentangan dengan undang-undang negara.
Siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap kedua-dua penerbitan tersebut, termasuk melibatkan pihak penerbit seperti SIRD, bagi memastikan pematuhan kepada semua keperluan perundangan, termasuk pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).
Orang ramai turut diseru agar tidak mensensasikan isu ini dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang tepat.



