Menteri KUSKOP temui Gabenor BNM perkukuh ekosistem Pembiayaan dan Penskalaan PMKS

PUTRAJAYA, 28 APRIL –YB Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan
Usahawan dan Koperasi menyambut baik pengumuman Bank Negara Malaysia
mengenai SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) berjumlah RM5 bilion bagi
membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat
Krisis Bekalan Global susulan konflik Asia Barat yang berterusan.


Pengumuman ini hadir bertepatan dengan pertemuan beliau bersama Gabenor YBhg
Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour di Bank Negara Malaysia pagi tadi bagi
membincangkan peranan strategik bank pusat dan institusi kewangan dalam
memperkukuh ekosistem PMKS, khususnya dalam suasana ketidaktentuan ekonomi semasa.


Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperluas
sokongan pembiayaan kepada PMKS. YB Steven Sim turut menekankan keperluan
meningkatkan akses kredit dan pembiayaan yang lebih inklusif, khususnya bagi usahawan baharu dan peminjam kali pertama. Pertemuan itu juga menyentuh
potensi pendekatan pembiayaan hibrid atau blended financing Bagi menggabungkan kekuatan sektor kewangan dan pasaran modal negara untuk menyokong pertumbuhan PMKS.


YB Steven Sim menegaskan bahawa dalam mendepani cabaran semasa, sokongan kepada PMKS memerlukan pendekatan all hands on deck melibatkan KERAJAAN, institusi kewangan, sektor perbankan dan seluruh ekosistem keusahawanan, selari dengan misi KUSKOP “Hebatkan Perniagaan Malaysia”.


Beliau turut berkata KUSKOP komited bukan sahaja untuk memastikan lebih banyak perniagaan tempatan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global akibat konflik Asia Barat, malah merebut peluang untuk terus berkembang, meningkatkan produktiviti dan melonjak ke tahap seterusnya.


Sehingga Mac 2026, pembiayaan kepada PMKS oleh institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan (DFI) telah mencecah RM443.8 bilion, mewakili hampir 51 peratus daripada jumlah pinjaman perniagaan, merupakan satu asas kukuh untuk diperkasa dengan sokongan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *