KUALA LUMPUR, 2 Mei 2026 – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius penganjuran program “Rain Rave 2026” yang didakwa mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat berkaitan integriti pentadbiran, penggunaan sumber awam serta hala tuju industri hiburan negara.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, isu berkenaan bukan sekadar perbezaan pandangan terhadap hiburan, tetapi turut melibatkan persoalan tadbir urus, keutamaan dasar awam dan penggunaan dana negara.
Menurut beliau, sebarang program yang mendapat penglibatan atau sokongan agensi kerajaan perlu menjelaskan nilai tambah sebenar kepada rakyat dan negara.
“Jika penganjuran ini melibatkan dana awam secara langsung atau tidak langsung, maka ia wajib dinilai dari sudut keberkesanan, impak ekonomi sebenar serta pulangan kepada sektor pelancongan negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
MCW turut membangkitkan kebimbangan terhadap persepsi awam berkaitan kawalan dan penguatkuasaan sepanjang acara berlangsung susulan beberapa rakaman tular yang mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan aktiviti tidak sihat termasuk penyalahgunaan bahan terlarang.
Menurut MCW, sebarang kelemahan kawalan boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan berintegriti.
Dalam kenyataan sama, MCW turut menegaskan bahawa negara ketika ini sedang berdepan cabaran ekonomi serta isu pengurusan sumber, justeru sebarang bentuk pembaziran perlu dielakkan.
“Penganjuran acara yang menggunakan sumber secara besar-besaran tanpa justifikasi kukuh mencerminkan kelemahan dalam perancangan dasar,” menurut kenyataan itu.
MCW turut menyifatkan reaksi bercampur masyarakat terhadap acara tersebut sebagai petunjuk wujudnya jurang nilai sosial yang memerlukan pendekatan lebih sensitif dan strategik daripada pihak kerajaan.
Sehubungan itu, MCW menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) tampil memberi penjelasan terbuka mengenai objektif, kos dan impak sebenar program berkenaan.
Selain itu, organisasi tersebut turut menggesa audit menyeluruh dilakukan terhadap penganjuran acara termasuk sumber kewangan dan pihak penganjur, di samping menetapkan garis panduan lebih ketat bagi acara berskala besar.
MCW menegaskan Malaysia memerlukan dasar pelancongan yang lebih berintegriti, berfokus dan berorientasikan hasil, bukan sekadar mengejar populariti acara jangka pendek.



