KDN Perkukuh Kawalan Sempadan Langkawi, Tumpu Banteras Penyeludupan Barang Kawalan

LANGKAWI – Kementerian Dalam Negeri menerusi Menteri Dalam Negeri mengadakan lawatan kerja dan pemantauan operasi kawalan sempadan di kawasan utara negara melibatkan Teluk Ewa dan Pelabuhan Telaga Harbour, Pulau Langkawi pada 24 hingga 25 April 2026.

Lawatan tersebut bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan operasi serta memperkukuh penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti ketirisan dan penyeludupan barang kawalan.Kerajaan MADANI melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh kawalan sempadan negara bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara selain melindungi kebajikan rakyat daripada kesan ketirisan barang bersubsidi yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan domestik.

Lawatan itu turut merangkumi tinjauan udara di perairan strategik sekitar Langkawi sebelum diteruskan dengan tinjauan darat ke Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Teluk Ewa serta kemudahan penguatkuasaan di Telaga Harbour.Menteri turut diberikan taklimat operasi oleh agensi berkaitan berhubung pelaksanaan kawalan sempadan termasuk pengurusan kemasukan feri antarabangsa, kapal layar serta aktiviti maritim di jeti utama kawasan tersebut.

Pulau Langkawi mempunyai kedudukan strategik sebagai pintu hadapan negara di sempadan Malaysia–Thailand dengan ciri geografi maritim terbuka serta pergerakan antarabangsa yang aktif melalui pelabuhan dan jeti.Walaupun status kawasan bebas cukai terus dikekalkan, pihak kerajaan memaklumkan perbezaan harga barang tertentu antara Langkawi, tanah besar dan negara jiran masih mewujudkan risiko penyelewengan serta penyeludupan secara kecil tetapi kerap.Sehubungan itu, pengukuhan kawalan dan pemantauan bersepadu oleh agensi penguat kuasa terus dipertingkatkan.

Dalam perkembangan sama, pelaksanaan Op TIRIS dilaporkan berjaya mengekang ketirisan barang kawalan melalui tindakan penguatkuasaan bersepadu di seluruh negara.Bagi negeri Kedah, sehingga 22 April 2026, Op TIRIS merekodkan sebanyak 58 kes melibatkan rampasan pelbagai komoditi barang kawalan dengan jumlah kuantiti keseluruhan sebanyak 33,586 dan nilai rampasan berjumlah RM121,945.45.Antara komoditi yang dirampas termasuk diesel, petrol, LPG, minyak masak, gula pasir kasar dan tepung gandum.Rampasan diesel mencatatkan nilai tertinggi sebanyak RM101,676.20 diikuti petrol RM10,561.54, minyak masak RM4,839.60, LPG RM3,873.20, gula pasir kasar RM668.07 dan tepung gandum RM326.84.

Menurut kenyataan itu, statistik berkenaan menunjukkan komoditi bahan api terus menjadi sasaran utama sindiket penyeludupan khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti laluan sempadan darat dan perairan negeri Kedah.Selain Op TIRIS, operasi lain seperti Op Taring Wawasan, Op Pesisir Pantai Barat Utara, Op Sejahtera dan Op Cegah PATI turut dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan sempadan serta melindungi negara daripada ancaman keselamatan termasuk penyeludupan dan pencerobohan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *