PUTRAJAYA, 30 April – Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) secara rasmi melancarkan tiga garis panduan baharu di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) bagi memperkukuh tadbir urus data peribadi serta membina kepercayaan digital di Malaysia.

Pelancaran tersebut diadakan sempena program PDPA Connect: Strengthening Digital Trust 2026 dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Digital, Wilson Ugak Kumbong.Menurut kenyataan rasmi, inisiatif strategik itu merupakan hasil kerjasama antara JPDP dan Futurise Sdn. Bhd. dalam memastikan garis panduan yang dibangunkan lebih praktikal serta relevan dengan keperluan semasa industri.Tiga garis panduan baharu yang diperkenalkan adalah:Garis Panduan Penilaian Impak Perlindungan Data (DPIA) – membantu organisasi mengenal pasti dan mengurus risiko pemprosesan data secara proaktif di peringkat awal.
Garis Panduan Mereka Bentuk Berdasarkan Perlindungan Data (DPbD) – memastikan perlindungan data peribadi diintegrasikan secara menyeluruh dalam keseluruhan kitaran hayat aktiviti pemprosesan data.Garis Panduan Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan (ADMP) – memperkukuh tadbir urus dalam pelaksanaan keputusan automatik dan aktiviti pemprofilan secara telus, adil serta bertanggungjawab.
Wilson Ugak berkata, kepercayaan terhadap pengurusan data peribadi merupakan elemen asas yang menentukan kemampuan serta daya saing ekonomi digital negara.Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan perlindungan data perlu beralih daripada pematuhan semata-mata kepada pendekatan lebih menyeluruh berasaskan akauntabiliti dan pengurusan risiko.Menurut beliau, aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang tahun 2030 memerlukan ekosistem digital yang bukan sahaja kukuh dan selamat, malah dipercayai oleh rakyat.“Tanpa kepercayaan, potensi ekonomi digital tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.Pelancaran garis panduan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan perundangan perlindungan data peribadi negara kekal selaras dengan piawaian dan amalan terbaik global.
Langkah itu juga dijangka meningkatkan keyakinan pelabur serta rakan antarabangsa terhadap ekosistem digital Malaysia.JPDP turut menyeru semua pihak khususnya pengawal data supaya mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan garis panduan tersebut bagi membina ekosistem digital yang selamat, dipercayai dan berdaya saing di peringkat global.



