China bimbang virus COVID-19 ditiup angin dari Korea Utara

BEIJING: China mengesyaki jangkitan baharu COVID-19 yang melanda di bandar bersempadan dengan Korea Utara adalah berasal dari negara jiran itu melalui tiupan angin.
Menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Dandong, walaupun menjalani perintah sekatan sejak akhir April, kes harian tetap meningkat di bandar dengan 2.19 juta penduduk itu.
Kebanyakan individu yang dijangkiti dalam komuniti sepanjang minggu lalu dilaporkan tidak berada di luar kawasan perumahan mereka selama sekurang-kurangnya empat hari sebelum disahkan positif.
Malah, pegawai juga tidak dapat membuktikan kewujudan rantaian penularan walaupun virus itu merebak di tempat lain di China, termasuk di wilayah utaranya.
Justeru, notis kerajaan dikeluarkan oleh pihak berkuasa menggesa penduduk yang tinggal di tepi Sungai Yalu iaitu sungai yang mengalir di antara kedua-dua negara, supaya menutup tingkap mereka bagi mengelak dimasuki angin.
Seorang penduduk Dandong yang enggan dikenali berkata, mereka juga diminta lebih kerap menjalani ujian coronavirus.
enurutnya, penduduk mengesyaki pihak berkuasa sedang mempertimbangkan kemungkinan virus itu dibawa melalui udara dari Korea Utara.
Menurut Agensi Berita Pusat Korea yang dikendalikan kerajaan, negara terpencil itu mengalami krisis jangkitan serius apabila kes disyaki melebihi empat juta sejak akhir April lalu.
Wakil CDC Dandong dan Liaoning ketika dihubungi berkata, mereka tidak mempunyai butiran lanjut mengenai virus yang merebak melalui udara.
Sementara itu, tidak semua bersetuju mengenai risiko COVID-19 melalui bawaan udara dari Korea Utara, malah ramai pengguna media sosial di China menganggap virus itu boleh ‘bergerak’ sejauh ratusan meter adalah tidak berasaskan bukti saintifik.
Penyelidikan menunjukkan bahawa jangkitan melalui bawaan udara tidak mungkin berlaku pada jarak yang jauh, terutamanya dalam persekitaran luar tanpa pendedahan berulang.
Pekan di sempadan China tertakluk kepada beberapa langkah membendung wabak yang paling ketat apabila virus itu mula menular.
Menurut laporan media tempatan, Ruili, sebuah bandar di sempadan China dan Myanmar, dikurung secara berkala selama lebih 160 hari.
Korea Utara dan China berkongsi sempadan di sepanjang 1,300 kilometer (km) di beberapa kawasan yang dipisahkan oleh Sungai Yalu.
Bandar ini adalah hab perdagangan utama bagi kedua-dua negara di mana kira-kira 70 peratus daripada perdagangan luar Korea Utara adalah melalui Dandong sebelum tercetusnya wabak itu.
Malah, pengangkutan kereta api antara Dandong dan bandar Sinuiju yang berjiran di Korea Utara juga dihentikan sementara kerana penularan wabak itu. – AGENSI