DBKL Perkasa Usaha Sifar Sisa di Bazar Ramadan 2025

  • March 26, 2025
  • 2 min read
DBKL Perkasa Usaha Sifar Sisa di Bazar Ramadan 2025

KUALA LUMPUR, 25 Mac 2025 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus memperkukuh usaha pengurusan sisa mampan menerusi inisiatif Sifar Sisa di Bazar Ramadan 2025. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa, bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif, turun padang meninjau pelaksanaan inisiatif tersebut di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampong Bharu malam semalam.

Inisiatif Sifar Sisa merupakan usaha berterusan DBKL dalam menggalakkan amalan lestari sepanjang Ramadan. Dua program utama telah diperkenalkan iaitu Program MySaveFood dan Program Pengasingan Sisa Makanan bagi mengurangkan pembaziran serta memastikan sisa diurus dengan lebih efektif.

MySaveFood: Selamatkan 10,000 Kilogram Lebihan Makanan

Program MySaveFood, hasil kerjasama DBKL, Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, SWCorp, serta para peniaga, bertujuan mengurangkan pembaziran makanan dan memupuk budaya kitar semula.

DBKL menyasarkan 10,000 kilogram lebihan makanan dapat dikumpulkan dan diagihkan kepada golongan memerlukan. Selain membantu mereka yang kurang berkemampuan, inisiatif ini juga mengurangkan kos pengurusan sisa serta lebihan makanan yang dihantar ke tapak pelupusan.

Dilaksanakan dari 5 hingga 26 Mac 2025, program ini melibatkan 12 lokasi bazar terpilih di sekitar Kuala Lumpur, termasuk Bazar Ramadan Wangsa Maju, Sri Rampai, Kampong Bharu, Danau Kota, dan Taman Tasik Permaisuri.

Pengasingan Sisa Makanan: Ke Arah Pengkomposan dan Kitar Semula

Program Pengasingan Sisa Makanan pula melibatkan kerjasama antara peniaga dan Alam Flora Sdn Bhd bagi mengasingkan sisa makanan agar boleh dikitar semula. Inisiatif ini bertujuan mengurangkan jumlah sisa organik yang dihantar ke tapak pelupusan, sejajar dengan sasaran DBKL untuk mencapai Sifar Sisa menjelang 2040.

Pencapaian Memberangsangkan

Setakat ini, inisiatif Sifar Sisa telah menunjukkan impak positif:

11,482.89 kilogram lebihan makanan berjaya diselamatkan menerusi MySaveFood, dengan anggaran nilai RM139,576.69.

Pengurangan pelepasan karbon sebanyak 21,532.28 kilogram CO₂.

11,990 kilogram sisa makanan dihantar ke pusat pengkomposan.

24,061 kilogram sisa bukan makanan berjaya dikitar semula.

Kejayaan ini membuktikan keberkesanan program yang bukan sahaja mengurangkan sisa ke tapak pelupusan tetapi juga menyumbang kepada pembentukan bandar raya yang lebih hijau dan mampan.

DBKL merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan menyeru warga kota untuk terus menyokong usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Raya Sifar Sisa menjelang 2040.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *