KUALA LUMPUR: Penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar menegaskan bahawa hukuman penjara terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian tidak mencukupi untuk menampung nasib keluarga mangsa yang kehilangan punca nafkah.
Menurut beliau, aspek kebajikan waris seperti isteri dan anak-anak mangsa perlu diberi perhatian serius, termasuk memastikan mereka menerima pampasan dengan segera tanpa melalui proses yang membebankan.
“Undang-undang perlu diperkasakan agar pampasan (diyat) dapat disalurkan kepada waris dengan cepat tanpa membebankan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Kenyataan itu susulan satu kemalangan maut yang berlaku di Jalan Raya Barat, Klang, semalam, melibatkan seorang penunggang motosikal yang maut selepas dipercayai dirempuh pemandu mabuk.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Lim Jit Huey, berkata siasatan awal mendapati pemandu sebuah Honda City dipercayai memandu secara melulu dengan memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Kenderaan tersebut kemudian melanggar motosikal mangsa, menyebabkan mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah.
Suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.



