KERAJAAN MADANI LAKSANA PELAN TINDAKAN PEMBINAAN SEMULA RUMAH MANGSA PUTRA HEIGHTS YANG KOMPREHENSIF DAN TERBAIK DALAM SEJARAH

PUTRA HEIGHTS, 30 APRIL 2025 – Kerajaan MADANI melalui Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memulakan usaha bagi membaik pulih
dan membina semula rumah mangsa yang terlibat dengan insiden di Putra Heights pada 1 April 2025.
Langkah ini diambil bagi memastikan mangsa yang kehilangan tempat tinggal
mendapat perlindungan yang selamat dan selesa secepat mungkin.
Mengikut pengumuman Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini, sebanyak 219 unit rumah telah terjejas akibat insiden baru-baru ini. Daripada jumlah tersebut, 81 unit rumah
mengalami kerosakan melebihi 40 peratus dan 138 unit rumah mengalami kerosakan
kurang daripada 40 peratus.

KPKT telah menubuhkan Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara bagi
mengumpulkan dana membantu mangsa-mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana tersebut. Jumlah peruntukan daripada tabung tersebut bagi kerja baik pulih dan pembinaan semula rumah-rumah mangsa dianggarkan sebanyak RM40 juta.
Terdapat tiga (3) kategori kerja bagi baik pulih dan pembinaan semula rumah-rumah yang
terkesan iaitu :
a) Kategori pertama – rumah-rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus dan memerlukan pembinaan semula, kos siling pembinaan ditetapkan sebanyak
RM300,000 seunit;
b) Kategori kedua – rumah-rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus tetapi tidak memerlukan pembinaan semula, kos siling baik pulih ditetapkan sebanyak
RM150,000; dan
c) Kategori ketiga – rumah-rumah yang mengalami kerosakan kurang daripada 40
peratus, kos siling baik pulih adalah sebanyak RM30,000.
Projek pembinaan semula rumah ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pemaju yang telah dilantik iaitu Sime Darby dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Sime Darby yang juga merupakan pemaju Taman Putra Harmoni akan mengambil tanggungjawab membina semula rumah- rumah terkesan di kawasan perumahan tersebut mengikut pelan rumah unit asal. Manakala Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pula akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembinaan semula di Kampung Kuala Sungai Baru.
Kedua-dua pihak ini akan dibenarkan memasuki tapak tersebut bermula 1 Mei 2025 dan memulakan kerja dengan unit-unit kediaman dalam radius 100 meter dari kawasan kejadian.
Tempoh keseluruhan yang diperuntukkan bagi kerja-kerja pembinaan ini adalah selama 24
bulan. Menteri KPKT, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM) menegaskan bahawa KPKT akan terus memantau perkembangan projek ini dan memastikan pelaksanaannya berjalan lancar
mengikut jadual. “Ini bukan sekadar pembinaan fizikal, tetapi juga usaha membina semula kehidupan dan harapan mereka yang terkesan bagi memastikan mangsa dapat kembali mendiami kediaman masing-masing secepat mungkin.”
KPKT juga turut memperuntukkan sejumlah RM6 juta bagi kerja-kerja pemulihan
infrastruktur awam melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara
(JLN) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ). Dengan ini, jumlah keseluruhan kos
yang terlibat dalam usaha melestarikan kawasan Putra Heights adalah sebanyak RM46 juta, merangkumi RM40 juta untuk kerja bina baru dan baik pulih rumah dan RM6 juta untuk pemulihan infrastruktur awam.
Kerajaan MADANI amat prihatin terhadap nasib mangsa dan komited dalam memastikan proses pemulihan rumah berjalan lancar demi kebajikan, kesejahteraan dan daya huni rakyat secara keseluruhannya.