Muda Vs Otai: Saingan Mantap di Pentas Marhaban Minggu Ini

  • November 27, 2023
  • 4 min read
Muda Vs Otai: Saingan Mantap di Pentas Marhaban Minggu Ini

Pentas Marhaban, satu program realiti keluaran TV AlHijrah diterbitkan bagi mengangkat martabat dan kesenian Islam seperti berzanji, marhaban, Rawi dan Qasidah serta menarik minat anak muda dalam menghargai keindahan amalan tradisi masyarakat Melayu ini.

Pada asasnya, 12 kumpulan marhaban akan bersaing dengan mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW serta puji-pujian kepada tuhan mengikut iramanya yang tersendiri. Tiga elemen utama yang menjadi teras dalam setiap persembahan adalah Mawal, Marhaban dan Qasidah.

Program ini akan berlangsung selama lapan minggu dan pada setiap minggu, dua Kumpulan akan berentap untuk menjadi sang juara pada setiap episode dan setiap pemenang mingguan akan bersaing ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke finale.

Semua lapisan masyarakat turut menyertai pertandingan ini iaitu dari usia paling muda 9 tahun dan paling senior adalah dalam 80-an. Barisan juri profesional dianggotai oleh dua juri tetap iaitu Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Zulhafis lebih dikenali sebagai Along Gambus bersama seorang lagi juri jemputan pada setiap minggu, pada minggu ini juri jemputan adalah Hazamin InTeam.

Pada setiap minggu, juara setiap episod Pentas Marhaban akan membawa pulang wang tunai RM2,500 dan layak ke peringkat separuh akhir.

Juara keseluruhan yang mendominasi Pentas Marhaban akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 dan naib juara sebanyak RM25,000 beserta hadiah tambahan lain.

Pada minggu ini menampilkan pertembungan antara kumpulan muda dan kumpulain otai, iaitu Kumpulan Intracksee dan Al-Muhtadin.

Menurut juri tetap Pentas Marhaban, Ustazah Asni Mansor, dua kumpulan ini mempunyai kelebihan tersendiri. Kumpulan Intracksee sebagai anak muda berjaya mengangkat dan menginovasikan marhaban supaya mudah mendapat penerimaan oleh golongan muda dengan menampilkan persembahan alat muzik yang harmoni, suara dan bacaan yang sedap. Kumpulan Al-Muhtadin pula mengungguli keaslian kumpulan marhaban dengan suara yang lunak, pitching yang tepat dan suara yang padu. Benar-benar seperti ‘real’ otai yang masih berbisa.

“Kumpulan Al-Muhtadin mengekalkan originaliti marhaban manakala Intracksee lebih kepada inovasi buat anak-anak muda. Walaupun kumpulan ini kurang alat muzik untuk mengalunkan Qasidah, tetapi vokal mereka itu boleh touch heart, menyentuh hati”

“Yang saya nampak, dua kumpulan ini betul-betul memenuhi kriteria yang kita mahukan. Buat masa ini, kita masih belum lagi dapat menentukan siapa yang mempunyai kelebihan kerana kedua-dua kumpulan anak muda dan otai sangat penting. Dua-dua mempunyai kepentingan masing-masing dan akan cuba buat yang terbaik yang akan menonjolkan kehebatan tersendiri” katanya.

Jelasnya, Kumpulan Al-Muhtadin mempunyai kebolehan melontar suara dan menjawab setiap bait lagu-lagu. Jadi, originaliti itu dapat dipamerkan. Kumpulan anak muda pula lebih kepada harmonis dan santai yang memenuhi citarasa anak muda.

Mengulas lebih lanjut mengenai kriteria bagi mendapatkan gelaran juara di Pentas Marhaban, menurut Ustazah Asni terdapat pelbagai kriteria yang menjadi pilihan juri.

“Pertamanya, jaga vocal. Kedua, jangan sampai terlalu berinovasi sehingga hilang keoriginalan marhaban tersebut. Itu yang kita nak. Boleh berinovasi dan kalau boleh persembahan yang dipertontonkan lebih bersemangat dan padu mengambil kira bahawa pertandingan ini dinilai melalui kriteria yang telah ditetapkan” ujarnya.

Pengurus Pembangunan Kandungan dan Perolehan TV AlHijrah, Nurjannah Mohd Salleh berkata keterujaan penyokong-penyokong yang membara dapat dilihat melalui laman media sosial seperti Facebook Live yang menunjukkan sokongan mereka terhadap kumpulan pilihan masing-masing.

“Kita dapat lihat ada group dari Sik, Kedah manakala Intracksee dari USIM yang sama-sama memberi sokongan yang padu dalam meraikan kumpulan pilihan mereka. Yang ini yang kita mahu lihat, kita mahukan satu persaingan yang sihat, baik dan hebat. Dalam pertandingan ini kita dapat lihat Kumpulan Intracksee dengan inovasinya dan Kumpulan Sik dengan old schoolnya, originality tetapi dalam pertandingan ada kriteria-kriteria yang telah ditetapkan, dari persembahan sehingga vocal, akan diambil kira,” katanya.

Terdapat banyak maklum balas positif yang diberikan oleh khayalak ramai mengenai program ini tidak kira daripada yang berusia mahupun golongan muda.

“Di Tv AlHijrah, kita mendapat banyak feedback yang bagus, sama ada secara direct mahupun di social media, mereka mengalu-alukan dan menunggu pertandingan bagi pentas marhaban ini sebab orang skeptikal dengan marhaban yang lebih sinonim dengan golongan berusia. Sekarang ini kita boleh nampak bahawa marhaban, Qasidah, dengan mawal dan rawi ini adalah untuk golongan muda juga,” jelasnya.

“Kalau kita melihat tradisi marhaban ini, sebab itulah di pihak AlHijrah kita mahu mengkomersialkan kerana kita dapat lihat trend dari novel ke drama, jadi kami di lapangan mahu mengkomersialkan marhaban supaya capaian itu menjadi lebih besar. Kita boleh lihat di social media, online dan sebagainya akan menimbulkan reaksi pelbagai pihak akan keindahan Qasidah dan Marhaban bukan sahaja di Malaysia tetapi akan merentas Singapura dan Brunei,” ujarnya.

Kumpulan Intracksee merangkul juara episode pada minggu ini dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,500 dan layak ke pusingan yang seterusnya.

Program ini bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, pukul 9 malam. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *