Pengusaha, Pemilik Tanah Kg Kemensah Bersatu Hati Jana Ekonomi Setempat

  • October 3, 2023
  • 3 min read
Pengusaha, Pemilik Tanah Kg Kemensah Bersatu Hati Jana Ekonomi Setempat

HULU SELANGOR: Pengusaha, pemilik tanah dan penduduk orang asli di Kg Kemensah bersatu hati dalam memajukan pelancongan di kawasan Kg Kemensah setelah 40 tahun bersama-sama berusaha memajukan kawasan tersebut.

Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Kampung Kemensah, Mohd Zaharuddin Ismail berkata, tanah diusahakan itu sebelum ini merupakan tanah rizab Melayu sebelum diubah status kepada hutan simpan di bawah kawalan JPNS sejak 2010.

“Kami semua bersatu hati sehingga telah memohon untuk membenarkan permit dan usaha lagi pada tahun 2022 untuk dapatan permit guna pakai, namun malangnya tidak dapat jawapan dari Jabatan Hutan sehingga kini.

“Kami tidak mengalah, kami terus berjumpa dengan pejabat hutan, dan berbincang bagaimanakah cara untuk kami mendapatkan permit dan beliau bagi pandangan kepada kami supaya memohon semula dan sehingga kini kami masih memohon.

Sehubungan dengan itu, kami berharap pihak berwajib berilah kami peluang untuk kami guna pakai kawasan untuk kami bercucuk tanam, untuk semua rakyat Malaysia beriadah dan dapat menjana ekonomi anak-anak kampung.

“Setiap minggu kami terima kunjungan dari orang ramai ke Kg Kemensah, ‘hiking’ sahaja 700-800 orang ke satu-satu masa, cuti umum pula lagi lebih banyak, jadi ekonomi kampung dan negeri meningkat.

“Orang ramai seawal pukul 6 pagi sudah ada, untuk melihat pemandangan di kawasan Kg Kemensah. Bila tengok matahari naik, orang berebut nak pergi melihat keindahan atas puncak.

“Dengan kemudahan chalet di bawah, orang ramai boleh mandi manda. Dengan kemudahan ATV, cafe di Kebun Che Mah, beriadah ke Air Terjun Sofia Jane dan Batu Asah, ‘shuttle’ juga disediakan di Dusun Tok Li jika ada yang tercedera serta tidak larat dan sekiranya ada apa-apa yang berlaku di kawasan kami, kamilah orang yang pertama akan tahu dan kami yang akan bertindak sebelum Jabatan Hutan atau yang sebagainya. Orang pekebun yang akan pergi dulu, kamilah yang akan jadi ‘runner’ membawa orang ramai keluar.

“Dengan ini semua sama-sama mendapat manfaat untuk ekonomi anak-anak kampung, negeri serta negara.

“Kami berharap kepada pihak berwajib untuk memberi ruang kepada kami, kami bukan ingin berbalah, kami hanya ingin menyelesaikan apakah cara untuk kami teruskan kehidupan kami sebagai anak jati disini.

Sebagai maklumat, Permatang Kuartza tercalon diantara lima tempat dalam senarai tentatif untuk Malaysia, yang bermaksud bahawa kerajaan bercadang untuk menobatkan kawasan ini sebagai antara calon taraf tapak warisan dunia UNESCO pada masa akan datang.

Permatang Kuartza Genting Klang merupakan sebuah daik kuartza yang melalui sepanjang kawasan timur laut Kuala Lumpur, Malaysia yang meliputi kawasan Bukit Lagong-Kanching-Klang Gates. Berukuran lebih 16 km panjang dan 200m lebar, ia adalah yang terpanjang seumpamanya di dunia.

Jalur kuartza utama yang lain di Kuala Lumpur terletak di sepanjang Jalan Cheras-Kajang, berukuran 8 km panjang, namun Permatang Kuartza Genting Klang adalah satu-satunya permatang kuartza seumpamanya kerana ia mempunyai empat jenis formasi kuartza. Kawasan tersebut mempunyai lima spesies tumbuh-tumbuhan endemik antara 265 spesies, yang tidak dapat ditemui di mana-mana tempat lain di dunia.

Sungguhpun Permatang Kuartza Genting Klang merupakan antara formasi geologi paling unik di Malaysia, ia kurang dilindungi dan terdedah dengan ancaman pembangunan perbandaran.

Terbaru, rancangan Lebuhraya Lembah Klang Timur menjadi ancaman terkini terhadap Permatang Kuartza Genting Klang, memandangkan jajaran lebuh raya itu bakal melalui jalur kuartza tersebut. -UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *